Jumaat, 25 March 2016 | 4:35pm
ANAK pelarian bermain-main di dalam longgokan sampah di kem pelarian Saida Zainab, Damsyik.
ANAK pelarian bermain-main di dalam longgokan sampah di kem pelarian Saida Zainab, Damsyik.

Pelarian kepung konvoi bantuan rebut makanan

SEBAHAGIAN pelarian Syria dan Palestin di Kem Saida Zainab, Damsyik berkerumun konvoi bantuan kemanusiaan Aman Palestin untuk mendapatkan makanan.
SEBAHAGIAN pelarian Syria dan Palestin di Kem Saida Zainab, Damsyik berkerumun konvoi bantuan kemanusiaan Aman Palestin untuk mendapatkan makanan.

DAMSYIK (SYRIA): Keadaan pelarian yang tertekan kerana kehidupan dikongkong dan kekurangan makanan menyebabkan sesi pembahagian bantuan kemanusiaan Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) semalam di penempatan Saida Zainab di sini kecoh.

Ketika rombongan membawa bantuan tiba yang turut disertai oleh wartawan BH, ratusan pelarian Palestin dan Syria sudah sedia menunggu sejak jam 8 pagi waktu tempatan.

Sebaik saja lori membawa barangan bantuan tiba sekitar jam 12 tengah hari, suasana yang pada mulanya tenang bertukar kecoh.

Pelarian mengejar lori seolah-olah tidak sabar untuk mendapatkan bantuan makanan, tanpa mempedulikan arahan pihak berwajib.

Perancangan awal untuk memberikan barangan bantuan secara aman tidak kesampaian, sebaliknya berlaku pula perebutan dan pergaduhan.

Walaupun sudah diberikan nombor giliran, akibat kesempitan hidup, pelarian seolah-olah hilang sabar kerana bagi mereka meneruskan kelangsungan hidup adalah paling utama.

Mereka berebut-rebut dan bertegang urat untuk mendapatkan makanan.

Hidup dalam sebuah pekan tetapi terkepung, sudah tentu emosi akan terganggu ditambah dengan ketiadaan sumber kewangan yang tetap.

Walaupun terdapat kedai di Saida Zainab, difahamkan harga barangan di sini lebih dua kali ganda berbanding di Damsyik kerana kesukaran membawa masuk barangan dengan perlu melalui puluhan sekatan jalan oleh tentera.

KEADAAN Saida Zainab umpama padang jarak padang tekukur akibat perang saudara di Syria.
KEADAAN Saida Zainab umpama padang jarak padang tekukur akibat perang saudara di Syria.

Saida Zainab adalah kem penempatan di Damsyik yang dihuni lebih 3,000 pelarian Palestin dan Syria.

Hampir 50 peratus kawasan ini musnah dalam pertempuran menyebabkan semakin ramai yang menjadi pelarian dan hilang punca pendapatan.

Bulan lalu berlaku letupan di kem ini yang menyebabkan 50 orang terkorban dan puluhan yang lain mengalami kecederaan parah.

Kekecohan juga menyebabkan bantuan yang sepatutnya disalurkan kepada 300 keluarga terpaksa dibatalkan dan diserahkan kepada badan pengelola kem untuk diagihkan kelak.

Ini menambahkan lagi kemarahan pelarian di sini kerana kebanyakan mereka sudah menunggu dari awal pagi lagi semata-mata untuk mendapatkan bekalan makanan hasil sumbangan rakyat Malaysia ini.

Rombongan kami juga turut dimarahi oleh pelarian sehingga memaksa kami berlindung di dalam bangunan pejabat pengelola kem sambil dikawal ketat oleh tentera.

Cabaran sebegini adalah perkara biasa bagi badan sukarelawan kemanusiaan antarabangsa seperti Aman Palestin dan sebagai sebahagian dari anggota sukarelawan, saya juga perlu memahami perasaan mereka yang telah hampir lima tahun hidup dalam penindasan dan kesengsaraan.

Walaupun gencatan senjata sudah dilaksanakan di Syria, masih ada puluhan ribu penduduk Syria masih lagi terkepung dalam kem penempatan di sekitar Damsyik.

Kepungan oleh tentera rejim ini dikatakan bertujuan mengekang kebangkitan kembali rakyat yang menentang kerajaan.

Kali terakhir kumpulan media Malaysia memasuki Damsyik ialah pada 2014.

Perjalanan ke kem Saida Zainab tidak mudah walaupun rombongan Aman Palestin sudah mendapat kebenaran kerajaan Syria. Kami tetap perlu melalui kawalan ketat tentera kerajaan.

Kenderaan dinaiki rombongan diperiksa tentera lengkap bersenjata dengan alat pengesan bom sentiasa digenggam erat.

Orang ramai yang mahu membantu pelarian Syria dan Palestin boleh menyumbang menerusi Aman Palestin menerusi akaun Maybank 562263010787.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari www.amanpalestin.net.


Berita Harian X