Selasa, 22 March 2016 | 1:00pm
BANTUAN untuk pelarian di bumi Lubnan.
BANTUAN untuk pelarian di bumi Lubnan.

Layanan berbeza pelarian di bumi Lubnan

PELARIAN Palestin dinafikan pelbagai hak termasuk tidak bebas mencari sebarang pekerjaan.
PELARIAN Palestin dinafikan pelbagai hak termasuk tidak bebas mencari sebarang pekerjaan.

MEMEGANG status yang sama sebagai pelarian di bumi Lubnan, layanan diterima penduduk Palestin dan Syria, ternyata berbeza.

Pelarian Palestin dinafikan pelbagai hak termasuk tidak bebas mencari sebarang pekerjaan, apatah lagi mengusahakan perniagaan.

Berbeza pula dengan situasi pelarian Syria, mereka boleh berkongsi ruang yang sama seperti penduduk Lubnan lain, malah kebanyakan mereka mula meneruskan kehidupan dengan berniaga.

Bukan sekadar itu, hak mendapatkan rawatan juga agak terhad kepada pelarian Palestin, perlu membayar hingga ribuan ringgit untuk menikmatinya.

Kunjungan misi kemanusiaan Aman Palestin ke kem pelarian Marj, Wilayah Beqaa, Lubnan semalam, mendapati kebanyakan penghuni penempatan pelarian terbesar di situ berketurunan Palestin yang melarikan diri dari kem Yarmouk, Syria.

Abu Ibrahim, 50, yang terpaksa berpindah dari kem Yarmouk Syria ke sini, berkata hidupnya kini umpama hilang arah memikirkan keadaan kesihatan anak perempuannya, Asma Ibrahim yang berusia tujuh tahun.

Beliau yang sebelum ini seorang peniaga, mendakwa sejak mendiami kem pelarian Marj lima tahun lalu, hidupnya sekeluarga umpama banduan tanpa tarikh pembebasan.

Katanya, kesempitan hidupnya ditambah lagi dengan diskriminasi terhadap pelarian Palestin dalam segala perkara termasuk perubatan.

Asma patah tangannya kira-kira lapan bulan yang lalu ketika berada di kem pelarian terbabit dan usaha Abu mendapatkan rawatan kesihatan terhadap anaknya itu dihimpit dengan pelbagai masalah.

"Selama lapan bulan anak saya gagal mendapatkan rawatan kesihatan yang sempurna. Selama itu juga Asma terpaksa menanggung kesakitan setiap hari.

"Tiada bantuan kesihatan diberikan kepada kami. Ketika membawa Asma ke hospital, mereka meminta bayaran sehingga AS$3,300 (RM13,200) jika mahu Asma dirawat.

"Saya tiada pekerjaan, duit simpanan juga sudah habis malah terpaksa menanggung hutang yang banyak. Bagaimana saya mampu membayar kos rawatan Asma," katanya.

Kesakitan kanak-kanak kecil itu hanya kerana dilahirkan sebagai anak seorang pelarian Palestin tidak mendapat pembelaan sesiapa pun.

Abu hanya mampu merawat sendiri anaknya itu dengan membalut tangan anaknya yang patah sehinggakan Asma sendiri sudah lali dengan kesakitan yang dihadapinya.

Keadaan berbeza pula kepada pelarian Syria, kebetulan ketika kunjungan rombongan Aman Palestin ke kem Marj, hanya beberapa kilometer dari situ ada sebuah pasar pagi yang semua peniaganya terdiri daripada pelarian Syria.

Mereka bebas untuk berniaga, berjual beli barangan malah pasar pagi itu bukan saja khusus untuk pelarian tetapi dikunjungi penduduk Lubnan dan pelancong asing.

Peniaga sayur yang juga pelarian Syria, Junaina Karim, 54, mengaku sudah hampir empat tahun berniaga di situ dan pendapatan hasil perniagaannya itu menyebabkan dia kini mampu menyewa rumah yang selesa bersama keluarga.

Junaina yang fasih berbahasa Inggeris, berkata pelarian Syria ibarat saudara kepada penduduk Lubnan dan tiada masalah antara mereka.

"Kami dibenarkan menjalankan aktiviti seperti berniaga atau bekerja malah boleh mendapatkan rawatan kesihatan dengan baik.

"Banyak pertubuhan sukarelawan yang membantu, termasuk juga dari kerajaan Lubnan," katanya.

Kenyataan Junaina itu memberikan gambaran betapa rendahnya martabat dan maruah pelarian Palestin sehingga dinafikan hak mereka sebagai manusia.

Walaupun Junaina juga adalah seorang pelarian, namun kehidupannya lebih selesa dan senang berbanding dengan Abu Ibrahim.

Mengikut polisi kerajaan Lubnan, pelarian Palestin tidak dibenarkan untuk bekerja dan berniaga, malah mereka juga tidak dibenarkan mendapat bantuan daripada pertubuhan sukarelawan tempatan dan asing.

Pelarian Palestin di sini hanya boleh menerima bantuan kewangan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekitar AS$50 hingga AS$100 (RM200 hingga RM400) sebulan.

Berikutan itu, demi kelangsungan hidup masing-masing, ada dalam kalangan pelarian Palestin terpaksa bekerja secara haram meskipun berdepan risiko ditahan pihak berkuasa Lubnan.

Selepas menyalurkan sumbangan kepada pelarian sekitar kem di Lubnan, Misi Kemanusiaan Aman Palestin kini sedang berusaha untuk membantu pelarian di kem Jaramana, Madaya, Daraya dan Yarmouk di Syria yang menjadi kawasan paling sukar dimasuki sukarelawan.

Rombongan 10 orang sukarelawan Aman Palestin termasuk wakil BH akan bergerak melintasi sempadan Lubnan-Syria hari ini.

Rakyat Malaysia yang mahu membantu pelarian Syria dan Palestin boleh menyumbang menerusi Aman Palestin menerusi akaun Maybank 562263010787. Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari www.amanpalestin.net.

Berita Harian X