Selasa, 22 March 2016 | 12:40pm

Syarat lebih ketat dalam guna tenaga - Sultan Perak

 SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi titah ucapan perasmian Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Taiping. - Foto Supian Ahmad
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi titah ucapan perasmian Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Taiping. - Foto Supian Ahmad

TAIPING: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah negara harus bersifat lebih selektif dan mengenakan syarat lebih ketat dalam aspek guna tenaga ketika memberikan kelulusan pelaburan baharu dalam sektor pembuatan.

Baginda bertitah, perkara sama juga perlu dilakukan ketika meluluskan pas kerja dalam sektor perkhidmatan.

"Pelaburan, terutama pelaburan asing di negara ini, hendaklah diluluskan berasaskan kepentingan negara dan pekerjaan yang ditawarkan hendaklah membuka peluang kerja kepada warga tempatan.

"Tidaklah membawa manfaat kepada negara apabila kerja yang ditawarkan memerlukan kerajaan memberikan kebenaran untuk lebih ramai tenaga kerja asing dibawa masuk," titah baginda ketika merasmikan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Taiping di Kamunting, dekat sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, mendapatkan pas kerja untuk warga asing, kelihatan sebagai jalan mudah yang semakin dijadikan pilihan oleh kalangan majikan untuk kepentingan keuntungan jangka pendek urus niaga.

Titah baginda, tindakan itu dilakukan tanpa menghiraukan pelbagai implikasi negatif jangka panjang yang mula menjejaskan struktur sosial, budaya, demografi dan turut berpotensi menular menjejaskan struktur politik negara.

"Pendirian terkini kerajaan Persekutuan membekukan dan tidak akan membenarkan lagi kemasukan tenaga kerja asing amat bertepatan dan sesuai pada waktunya.

"Syarat yang lebih ketat amat perlu dikenakan kepada majikan supaya tidak lagi memilih laluan mudah untuk mendapatkan tenaga kerja asing hingga mengakibatkan warga dan negara terpaksa pada satu hari nanti, menanggung kos yang tinggi," titah baginda.

Berita Harian X