Sabtu, 19 March 2016 | 8:38am
ADENAN dan isteri Puan Sri Jamilah Anu ketika merasmikan Program Sejiwa Senada 2016 yang juga platform kerajaan mendekati rakyat.
ADENAN dan isteri Puan Sri Jamilah Anu ketika merasmikan Program Sejiwa Senada 2016 yang juga platform kerajaan mendekati rakyat.

SCORE pacu pembangunan Mukah

DARI sebuah kawasan yang kebanyakan ekonomi penduduknya bergantung kepada hasil laut dan pertanian, Bahagian Mukah telah mengalami pembangunan yang begitu pesat sepertimana dilihat hari ini.

Dengan populasi sebanyak 122,600 penduduk, bahagian ini yang merangkumi daerah Mukah, Dalat, Matu, Daro dan Tanjung Manis berkembang menjadi antara bahagian terpenting di Bumi Kenyalang, terutama dengan kedudukannya dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang juga pusat pelaburan utama negeri ini.

Malah, perancangan bijak kepimpinan negeri melaksanakan Pelan Pembangunan SCORE sejak 2008 ternyata membawa pelbagai tranformasi terhadap Bahagian Mukah, terutama dalam konteks pembangunan fizikal dan sosio-ekonomi kawasan setempat.

Ekonomi Bahagian Mukah melonjak secara drastik melalui pelaksanaan inisiatif itu, sekali gus menyaksikan kemasukan banyak pelaburan dalam bidang perladangan dan penjanaan tenaga berasaskan arang batu serta industri berat seperti peleburan aluminium.

Bagi Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg, pembangunan Bahagian Mukah cukup mengagumkan, malah keupayaan komuniti setempat mengekalkan semangat kehidupan tradisi dalam mengharungi kemajuan turut dikagumi.

"Ia bukan hanya hab pelaburan dan gerbang pendidikan terpenting, malah berpotensi sebagai destinasi tumpuan pelancong bersandarkan kehidupan tradisi dan adat budaya komuniti setempat, termasuk Pesta Kaul yang berpotensi dibangunkan sebagai produk pelancongan.

"Pembinaan Lapangan Terbang Mukah baharu yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun turut diyakini menyumbang kepada usaha memperkasakan sosioekonomi setempat, terutama dalam industri pelancongan apabila kita berupaya menyediakan akses lebih baik untuk pelancong ke Bahagian Mukah," katanya.

Beliau yang juga menteri bertanggungjawab terhadap penganjuran Program Sejiwa Senada 2016 yakin acara itu, bermula semalam hingga esok, mampu memberi ruang kepada orang ramai mengimbas kemajuan Bahagian Mukah.

Nada sama dikongsikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Abdul Ghani yang menterjemahkan transformasi itu sebagai komitmen kerajaan negeri merealisasikan hasrat Sarawak untuk muncul sebegai negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

"Pelaksanaan SCORE bukan sahaja mengubah lanskap pembangunan Bahagian Mukah, malah turut menjadikannya kawasan pertumbuhan baharu ekonomi yang berdaya saing, dengan limpahan nikmat kemajuannya turut dikecapi penduduk dari kawasan berhampiran.

"Tentunya, di bawah kepimpinan Ketua Menteri, kita yakin usaha pembangunan sedia ada akan terus dilipatgandakan, seterusnya menepati aspirasi dan iltizam Kerajaaan Sarawak untuk membawa kemajuan ke segenap pelusik negeri ini, dengan impak positifnya boleh dikecapi rakyat di peringkat akar umbi bagi tempoh jangka panjang," katanya.

Bagi Ahli Parlimen Mukah, Datuk Seri Mohamad Leo Toyad pula perubahan berlaku di bahagian itu cukup drastik sepanjang tujuh penggal beliau mewakili kawasan berkenaan.

"Bahagian Mukah hari ini sama sekali berbeza berbanding dulu. Dari sebuah kawasan terasing dan terpinggir, ia kini berkembang pesat menjadi salah sebuah bahagian terpenting di Sarawak, lebih-lebih lagi melalui pelaksanaan Pelan Pembangunan SCORE.

"Laluan darat tidak lagi menjadi isu berbanding dulu yang terpaksa menggunakan laluan sungai dan laut. Hampir 90 peratus kawasan di sini sudah dihubungkan laluan berturap dalam usaha kerajaan negeri mewujudkan rangkaian perhubungan yang sistematik, antara elemen terpenting bagi menarik kemasukan pelabur," katanya.

Mohamad Leo menjelaskan tumpuan kini diberikan kepada projek pembinaan Lapangan Terbang Mukah yang baharu, dengan keupayaan menampung pesawat lebih besar ekoran daripada peningkatan jumlah penumpang dan pelabur.

"Keseluruhannya, Projek Lapangan Terbang Mukah membabitkan peruntukan RM341 juta oleh Kerajaan Persekutuan, malah fasa pertamanya sudahpun dimulakan mengikut jadual. Ia juga sebahagian daripada Akujanji Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Balingian sebelum ini.

"Pembinaan Lapangan Terbang Mukah yang baharu diyakini mampu mengekalkan momentum pertumbuhan sosioekonomi di Bahagian Mukah, termasuk misi menjadikannya sebagai hab pendidikan terkemuka di Sarawak melalui penyediaan akses lebih baik," katanya.

Beliau turut mengakui Bahagian Mukah, yang majoriti penduduknya dari etnik Melanau, kini sedang `dipersiapkan' untuk dijadikan `Bandar Bestari Kedua Sarawak' selepas Kota Samarahan sebagai gerbang pendidikan terulung di Sarawak.

"Bermula dengan Kampus Satelit Universiti Teknologi Mara (UiTM), Politeknik Mukah dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), penubuhan beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) sedang dirancangkan bagi menampung keperluan tenaga kerja mahir di Wilayah Tengah Sarawak. "

"Kita turut memberi tumpuan kepada penubuhan institusi latihan, teknikal dan vokasional dalam usaha melahirkan lebih ramai sumber tenaga kerja mahir di kalangan belia tempatan, khusus bagi menampung keperluan SCORE," katanya.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah pula menyifatkan pembangunan Mukah jelas terbukti melalui transformasi pekan itu sebagai antara hab pendidikan utama di negeri ini.

"Dulu, pekan kecil ini hanya memiliki dua buah sekolah menengah, namun ia kini berkembang menjadi sebuah pusat pendidikan utama bermula dari peringkat pendidikan awal kanak-kanak hinggalah ke peringkat IPT.

"Kita turut meningkatkan kemudahan infrastruktur pendidikan di negeri ini dengan pembinaan sekolah rendah dan menengah yang semakin bertambah di kawasan ini," katanya yang turut bertanggungjawab terhadap portfolio pendidikan negeri," katanya.

Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, berkata pelaksanaan Projek Lapangan Terbang Mukah juga jelas membuktikan komitmen kerajaan dalam membawa kemajuan ke Bahagian Mukah.

"Kerajaan Sarawak amat menitikberatkan jaringan perhubungan yang baik, terutama laluan darat dan udara, di kawasan pedalaman dan luar bandar. Kita percaya jaringan perhubungan yang efisyen membawa kemajuan ke sesebuah kawasan, sekaligus meningkatkan taraf hidup rakyat," katanya.

Kenyataan Fatimah turut disokong oleh ADUN Balingian, Yussibnosh Balo, yang mula mewakili kawasan itu selepas mencatatkan kemenangan besar dalam PRK Balingian, dua tahun lalu.

Baginya, Bahagian Mukah `amat beruntung' kerana berada di kedudukan strategik di lokasi tumpuan pembangunan SCORE, sekali gus mewujudkan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

"Pelaksanaan SCORE yang menyaksikan kemasukan para pelabur telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, sekaligus menjana pendapatan mereka dan membantu menangani isu kemiskinan.

"SCORE boleh diibaratkan sebagai `baja` yang menyuburkan ekonomi Bahagian Mukah. Inisiatif Press Metal Berhad membuka loji peleburan aluminium terbesar di sini amat dihargai kerana membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, begitu juga komitmen mereka melatih belia setempat dalam bidang kemahiran," katanya.

Berpengalaman sebagai Pegawai Daerah Dalat, beliau optimis dan yakin dengan keupayaan Bahagian Mukah untuk muncul sebagai bandar paling progresif di Wilayah Tengah Bumi Kenyalang.

"Ini amat menepati aspirasi Ketua Menteri untuk memastikan pembangunan setara di antara kawasan bandar dan luar bandar di Sarawak melalui pelaksanaan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang dicetuskannya ketika mula mengambilalih kepimpinan negeri," katanya.

Berita Harian X