Jumaat, 18 March 2016 | 12:44pm

MADA nafi pesawah dipaksa tangguh penanaman

ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menafikan dakwaan media kononnya pesawah di Kedah dan Perlis dipaksa menangguhkan aktiviti penanaman padi disebabkan kekurangan bekalan air.

Timbalan Pengurus Besar MADA (Teknikal), Ir Datuk Hor Tek Lip, berkata pihaknya sudah berkali-kali menyatakan bahawa jadual penanaman padi Musim 1/2016 tidak terjejas dengan fenomena El Nino, malah pesawah sudah pun dimaklumkan berkenaan perkara itu.

"Laporan itu tidak betul sama sekali. Memanglah kita nampak bendang kering, tanah merekah itu semua sebab bekalan air kita akan buat pada penghujung Mac ini, iaitu bermulanya Musim 1/2016.

"Saya minta jika pesawah-pesawah ada masalah pergi ke pejabat MADA, bincang dan minta pendapat daripada pegawai MADA, kita sedia membantu," katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan pesawah di Kedah dan Perlis tidak boleh memulakan penanaman padi dan dipaksa menangguhkan aktiviti itu kerana kekurangan air di empangan.

Beliau berkata, mengikut jadual MADA hanya akan mula membekalkan air mengikut tiga fasa iaitu pada 30 Mac, 9 April dan 19 April ini, membabitkan keseluruhan 100,685 petani di kawasan MADA.

Kedudukan takungan air di ketiga-tiga empangan utama di Kedah iaitu Empangan Muda, Ahning dan Pedu, katanya, adalah pada paras 81.77 peratus penuh, dan amat mencukupi untuk tanaman padi.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri Kedah, Datuk Badrol Hisham Hashim, berkata paras air di tiga empangan utama di Kedah berada pada paras selamat bagi menampung kegunaan domestik, industri dan pertanian sekiranya fenomena El Nino berterusan.

Katanya, empangan berkenaan juga boleh membekalkan air kepada pengguna di negeri ini dalam tempoh dua tahun. - BERNAMA

Berita Harian X