Jumaat, 18 March 2016 | 12:41pm

Bantu kesatuan sekerja - MTUC

KUALA LUMPUR: Majikan bertanggungjawab membantu organisasi masing-masing termasuk kesatuan sekerja bagi memastikan mandat daripada kakitangan dapat dilaksanakan.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), N Gopal Kishnam, berkata pihaknya berharap majikan di negara ini tidak menghalang atau mengekang kebebasan kesatuan dalam organisasi.

"Majikan perlu mengelak daripada mencampuri hal-ehwal kesatuan sekerja dan hak pekerja, malah tindakan menghalang kebebasan mereka tidak bersesuaian untuk dilaksanakan pada zaman sekarang.

"Hubungan antara majikan dan kesatuan mampu menjadi lebih kukuh kerana apabila syarikat berdepan kesukaran, kesatuan akan membantu menghadapinya bersama.

"Tiada kakitangan mahu melihat majikannya berdepan masalah, terutama yang membabitkan kerugian dalam perniagaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan keputusan Mahkamah Perusahaan pada 8 Mac lalu yang mendapati syarikat elektronik, Renesas Semiconductor KL Sdn Bhd, bersalah kerana menghalang kebebasan kesatuan sekerja.

Syarikat itu didapati melanggar Akta Perhubungan Perusahaan berikutan tidak menghormati hak pekerja untuk terbabit dalam kesatuan pekerja, termasuk mengambil bahagian dalam aktiviti rasmi.

Gopal Krishnam berkata, MTUC berharap keputusan itu akan membantu kedua-dua pihak mewujudkan situasi saling menguntungkan dalam proses pembangunan negara dan menjana pertumbuhan ekonomi.

Berita Harian X