Selasa, 8 March 2016 | 1:40pm
KAPAL Littoral Combat Ships (LCS) 1 di Dewan Konsolidasi Kapal Lokasi 77 Boustead Naval Shipyard Pangkalan TLDM. - Foto L. Manimaran
KAPAL Littoral Combat Ships (LCS) 1 di Dewan Konsolidasi Kapal Lokasi 77 Boustead Naval Shipyard Pangkalan TLDM. - Foto L. Manimaran

6 kapal perang LCS mantapkan perairan negara

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (dua kanan) merasmikan Peletakan Lunas Kapal LCS 1 di Dewan Konsolidasi Kapal Lokasi 77 Boustead Naval Shipyard Pangkalan TLDM. - Foto L. Manimaran
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (dua kanan) merasmikan Peletakan Lunas Kapal LCS 1 di Dewan Konsolidasi Kapal Lokasi 77 Boustead Naval Shipyard Pangkalan TLDM. - Foto L. Manimaran

LUMUT: Pembinaan enam Kapal Littoral Combat (LCS) atau kapal tempur pesisir bernilai RM9 bilion bakal memantapkan pertahanan perairan negara berikutan keupayaannya bertempur dalam empat dimensi peperangan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata LCS dilengkapi persenjataan untuk peperangan anti udara, anti permukaan laut atau air, anti kapal selam dan peperangan elektronik.

"LCS juga mampu beroperasi di pesisir pantai dan laut lepas untuk tempoh 21 hari tanpa penambahan bekalan," katanya ketika berucap pada majlis peletakan lunas kapal LCS1 projek LCS di Dewan Konsolidasi Kapal Lokasi 77 Boustead Naval Shipyard, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di sini, pagi ini.

Hishammuddin berkata, kapal pertama LCS dikenali sebagai LCS1 yang direka cipta dan dibina sepenuhnya di negara ini, dijangka siap pada 2018 dan akan diserahkan kepada TLDM pada pertengahan 2019 manakala kapal terakhir diserahkan pada pertengahan 2023.

Beliau berkata, pembinaan kapal itu selaras usaha pemodenan TLDM dan mampu meningkatkan keupayaan tempur armada pasukan itu daripada empat kapal tempur kepada 10 kapal.

Katanya, ia secara langsung membolehkan lebih banyak operasi dapat disempurnakan dengan lebih pantas dan berkesan.

Beliau berkata, pembinaan kapal itu juga membuktikan bahawa kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dengan aspek keselamatan dan pertahanan negara biar selemah mana keadaan serta pertumbuhan ekonomi negara.

Berita Harian X