Ahad, 6 March 2016 | 10:59pm

Hanya 40 peratus penagih dadah pulih

KETUA Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Datuk Suhaimi Abdullah (tengah) dan Yang Dipertua PENGASIH Malaysia, Datuk Mohd Yunus Pathi (kanan) menyampaikan sijil kepada peserta-peserta di Majlis Penutup Latihan Jatidiri Bekas-bekas pengguna dadah (Pengasih Level Training) di Rumah Pengasih, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli
KETUA Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Datuk Suhaimi Abdullah (tengah) dan Yang Dipertua PENGASIH Malaysia, Datuk Mohd Yunus Pathi (kanan) menyampaikan sijil kepada peserta-peserta di Majlis Penutup Latihan Jatidiri Bekas-bekas pengguna dadah (Pengasih Level Training) di Rumah Pengasih, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

KUALA LUMPUR: Jumlah penagih dadah seluruh negara dilaporkan meningkat lebih 20 peratus kepada 26,000 orang tahun lalu, berbanding 21,000 orang pada 2014.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Suhaimi Abdullah, berkata kesan pertambahan jumlah penagih turut menyumbang kepada pertambahan 'port dadah' di seluruh negara dengan jumlah dikenal pasti sebanyak 178 kawasan.

"Kebanyakan lubuk penagihan dadah dikesan berada di kawasan projek perumahan rakyat (PPR), FELDA serta penempatan nelayan.

"Kajian turut mendapati, golongan belia paling ramai menagih dadah dengan 70 peratus jumlah penagih dadah di seluruh negara adalah mereka yang berada di bawah umur 40 tahun," katanya kepada pemberita di sini, petang tadi.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Latihan Peringkat 2016 anjuran Persatuan PENGASIH Malaysia (PENGASIH), di sini.

Program selama empat hari itu disertai 64 penghuni rumah Pengasih dari pelbagai negeri, antaranya Rumah PENGASIH Kuala Lumpur , Teduhan Kasih Cheras, Teduhan Kasih Sungai Buloh, Teduhan Kasih Muar, Teduhan Kasih Melaka dan PENGASIH Amanjaya, Perak.

Mengulas mengenai pemulihan penagih, Suhaimi berkata, daripada keseluruhan penagih dadah yang menjalani pemulihan di pusat pemulihan dadah seluruh negara tahun lalu, hanya 40 peratus pulih manakala selebihnya kembali menagih dadah.

Justeru katanya, peranan badan bukan kerajaan (NGO) dalam membuat program rawatan pemulihan dan pencegahan adalah sangat penting kerana sedikit sebanyak membantu kerajaan membendung masalah dadah di negara ini.

Berita Harian X