X
Jumaat, 4 March 2016 | 11:22pm
GAMBAR empat yang maut rentung dalam kejadian treler terbakar di Kilometer 265.4 Lebuhraya PLUS arah selatan dekat Jelapang, (dari kiri) Danial Azhar, 13, Azhar Abdul Rahim, 44, Aizat Azhar, 18 dan Rosmani Abd Ghani, 65 (ibu kepada Azhar Abdul Rahim). - Foto Yahya Zainuddin
GAMBAR empat yang maut rentung dalam kejadian treler terbakar di Kilometer 265.4 Lebuhraya PLUS arah selatan dekat Jelapang, (dari kiri) Danial Azhar, 13, Azhar Abdul Rahim, 44, Aizat Azhar, 18 dan Rosmani Abd Ghani, 65 (ibu kepada Azhar Abdul Rahim). - Foto Yahya Zainuddin

Suami terkilan hilang isteri, anak dan cucu

KUALA NERUS: "Saya terkilan kerana dalam sekelip mata saya hilang empat orang tersayang," kata Abdul Rahim Talib, suami Rosmani Abd Ghani yang rentung dihempap treler di Kilometer 265.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), berhampiran Ipoh, Perak.

Abdul Rahim, 69, berkata dia hanya mengetahui kejadian malang menimpa ahli keluarganya itu selepas selesai menunaikan solat Jumaat petang tadi.

"Semalam, menantu saya di Setia Alam, Selangor tanya kenapa mereka masih tak sampai lagi. Bimbang dengan situasi itu kami sekeluarga cuba menghubungi mangsa, namun tidak berjaya.

"Saya pun mengambil keputusan untuk membuat laporan polis mengenai kehilangan mereka. Bagaimanapun petang tadi saya dimaklumkan isteri, anak dan dua cucu sudah tiada," katanya ketika ditemui di sini.

Mangsa, Rosmani Abd Ghani, 65, menaiki kenderaan terbabit bersama anaknya, Azhar Abdul Rahim, 44, dan dua cucu yang dikenali sebagai Aizat Azhar, 18, dan Danial Azhar, 13.

Semua mangsa yang juga ahli keluarga Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Abd Ghani, maut di lokasi kejadian.

Mereka dalam perjalanan dari utara menghala ke Shah Alam untuk mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seorang daripada mangsa yang menuntut di Maktab Tentera Diraja (MTD).

Mayat mangsa ditemui rentung dalam sebuah kereta Honda Accord, kira-kira 24 jam selepas dipercayai terbabit dalam kemalangan dengan lori treler di lebuh raya itu berhampiran susur keluar Ipoh.

Berita Harian X