Rabu, 2 March 2016 | 11:21pm

Gempa Sumatera: Penduduk PD rasai gegaran

PORT DICKSON: Penduduk bandar peranginan ini turut merasai gegaran yang dipercayai akibat gempa bumi di Sumatera, Indonesia, malam ini.

Bagaimanapun, gegaran yang berlaku kira-kira jam 9 malam itu hanya sekejap dan hanya segelintir penduduk menyedarinya.

Pemilik sebuah syarikat fotografi di tingkat dua Arked MARA di sini, Farhan Che Hasan, 27, berkata ketika kejadian itu berlaku, kebetulan dia pergi ke belakang pejabatnya untuk mengambil air.

"Saya terkejut apabila tiba-tiba melihat air dalam botol berkocak. Saya segera menyedari bahawa lantai bergoyang sedikit, tetapi kejadian itu berlaku dengan pantas," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, ketika dihubungi memberitahu tiada laporan diterima mengenai kejadian gegaran akibat gempa bumi di negeri ini.

Katanya, mungkin kejadian itu hanya sekejap menyebabkan orang ramai tidak melaporkan gegaran itu.

Berita Harian X