Isnin, 29 Februari 2016 | 7:01pm

Ustaz Kazim jumpa penduduk, lawat Al-Barakah

Ustaz Kazim, mula menemui penduduk kampung di Manjoi, Ipoh, hari ini. - Foto ihsan Facebook Ustaz Kazim
Ustaz Kazim, mula menemui penduduk kampung di Manjoi, Ipoh, hari ini. - Foto ihsan Facebook Ustaz Kazim

IPOH: Penceramah bebas, Datuk Mohammad Kazim Elias atau dikenali sebagai Ustaz Kazim, mula menemui penduduk kampung dan melawat Pusat Pendidikan Al-Barakah di Manjoi, di sini, hari ini.

Pada status laman sosial Facebooknya yang dimuat naik hari ini, beliau memaklumkan sudah mampu berjalan di sekitar Manjoi, bersenam, menemui orang kampung serta melawat Pusat Pendidikan Al-Barakah, yang diasaskannya.

Beberapa gambar yang dimuat naik turut menunjukkan beliau berjalan dengan membawa tongkat dan bersalaman dengan penduduk.

Abangya, Datuk Najmuddin Elias ketika dihubungi berkata, adiknya semakin ceria dan menunjukkan perkembangan kesihatan yang begitu positif.

"Ustaz semakin pulih, dia menunjukkan perkembangan kesihatan yang begitu menakjubkan dan beliau sendiri memberitahu ketika saya berkunjung ke rumahnya semalam.

"Saya yakin perubahan drastik ini adalah disebabkan beliau akur dengan nasihat doktor untuk sentiasa menjaga makan dan minum selain berehat dan melakukan senaman ringan," katanya.

Najmudin bagaimanapun berkata, adiknya masih lemah dan belum bersedia menerima kunjungan orang ramai yang mahu melawat.

"Saya sendiri yang akan memaklumkan apabila beliau bersedia untuk menerima kunjungan pelawat," katanya.

Najmuddin berkata, Ustaz Kazim dijadualkan membuat rawatan susulan di Hospital Pakar KPJ-ISH Ipoh pada Sabtu ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Ustaz Kazim terpaksa menghentikan ceramah di Kelantan pada 19 Februari lalu berikutan sakit dada.

Beliau kemudian dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk menerima rawatan dan kemudian dipindahkan ke KPJ-ISH Ipoh untuk rawatan susulan sebelum dibenarkan pulang ke rumah pada Sabtu lalu.

Beliau yang selamat menjalani rawatan angiogram buat kali kedua di KPJ-ISH Ipoh pada 24 Februari lalu dinasihatkan doktor untuk berehat selama tiga bulan.

Berita Harian X