Ahad, 21 Februari 2016 | 12:19am

PESAKA optimis silat wajib di sekolah

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto Sharul Hafiz Zam
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto Sharul Hafiz Zam

KUALA LUMPUR: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada minggu depan untuk membincangkan secara serius cadangan mewajibkan silat di semua sekolah.

Presidennya, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam, berkata setakat ini Kementerian Pendidikan sudah memberikan reaksi positif berkenaan cadangan itu dan sudah bersetuju untuk membincangkan kaedah terbaik pelaksanaannya.

Katanya, pelaksanaan itu adalah selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengangkat silat sebagai seni mempertahankan diri rasmi negara.

"Kita sudah cadangkan dan kementerian nampaknya positif mengenainya. Pertemuan dengan Mahdzir minggu depan bakal memuktamadkan mengenainya. Jika dipersetujui, ia akan membuka lebih banyak ruang kepada jurulatih silat di seluruh negara.

"Ia juga akan memeriahkan dunia silat di negara ini. Setakat ini pun saya lihat silat semakin menjadi satu fenomena. Di mana-mana sahaja sekarang ini, khalayak silat agresif mengembangkan silat," katanya.

Mohd Ali berkata demikian ketika merasmikan Himpunan Wasit Juri Kebangsaan yang berlangsung selama tiga hari bermula 19 Februari di Hotel Sani, di sini, sebentar tadi.

Himpunan itu yang mengumpulkan 120 wasit juri dari seluruh negara bertujuan membincang dan mengupas pelbagai isu dalam bidang kepengadilan sukan pencak silat di negara ini serta cadangan untuk dibawa ke Persekutuan Silat Antarabangsa (PERSILAT).

Sebanyak lima topik diperdebatkan dalam himpunan itu, antaranya menambahbaik peraturan pertandingan, sistem penyampaian maklumat, etika wasit juri dan penyelarasan kursus wasit juri.

Dalam himpunan yang sama juga, satu sistem pemarkahan elektronik diperkenalkan yang bakal diguna pakai pada Sukan Sea 2017, ketika Malaysia menjadi tuan rumah.

Mohd Ali berkata, himpunan ini begitu penting untuk mendapatkan pandangan wasit juri sebagai kelompok utama dalam pembangunan sukan pencak silat di negara ini.

"Himpunan ini adalah yang pertama kali dan ia akan terus diadakan pada masa depan bagi memantapkan khalayak wasit juri," katanya.

Berita Harian X