Selasa, 16 Februari 2016 | 4:19pm

LHDN sasar lebih RM1b daripada pengelak cukai

SUBANG JAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyasarkan kutipan lebih RM1 bilion daripada pengelak cukai yang membuat pengakuan secara sukarela.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar, berkata pihaknya akan melaksanakan siasatan secara menyeluruh berbanding tahun lalu yang hanya dibuat dengan skala kecil dan lebih berkomunikasi ketika siasatan terhadap pembayar cukai dilakukan.

"Kita akan melipatgandakan usaha mengutip cukai terutama daripada pengelak cukai melalui audit dan siasatan kerana kaedah ini perlu dilakukan bagi meningkatkan pendapatan negara demi pembangunan rakyat.

"Tahun lalu, LHDN memperoleh RM1 bilion tetapi dengan usaha dipertingkatkan tahun ini, kita berharap dapat memperoleh kutipan cukai membabitkan pembayar cukai yang membuat pengakuan secara sukarela dan pengelak cukai melebihi RM1 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan seminar LHDN - Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) 2016 di sini sebentar tadi.

Rabu lalu, LHDN menawarkan pengurangan penalti pada kadar tertentu bagi pengakuan secara sukarela pembayar cukai bermula 1 Mac sehingga 15 Disembar tahun ini.

Pengurangan itu meliputi pembayar cukai yang masih belum mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) atau Borang Nyata Petroleum (BNP) tahun ke belakang dan pembayar cukai yang sudah mengemukakan BNCP atau BNP tetapi tidak melaporkan maklumat cukai pendapatan dengan betul.

Penawaran itu dibuat susulan pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 28 Januari lalu bagi menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela melaporkan pendapatan tahun kebelakang dan juga menyelesaikan jumlah tunggakan cukai mereka.

Berita Harian X