Selasa, 16 Februari 2016 | 1:53pm

Audit keselamatan di sekolah, universiti 2 tahun sekali - NIOSH

TAN Sri Lee Lam Thye beramah mesra bersama pelajar selepas merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benoni. - Foto Edmund Samunting
TAN Sri Lee Lam Thye beramah mesra bersama pelajar selepas merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benoni. - Foto Edmund Samunting

PAPAR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) mencadangkan semua sekolah, universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi menjalani audit keselamatan sekurang-kurangnya dua tahun sekali, bagi membendung kemalangan dalam kawasan sekolah serta universiti.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata audit berkenaan membabitkan struktur bangunan dan infrastruktur asas termasuk makmal, kantin serta padang.

Katanya, dua tahun adalah jangka masa sederhana bagi melakukan audit kerana ia mampu mengurangkan kadar kemalangan membabitkan murid, warga sekolah dan universiti secara keseluruhannya.

"Sekolah dan universiti adalah tempat terbaik untuk mendidik generasi muda mengenai kepentingan menjaga keselamatan serta kesihatan, selain lokasi pekerjaan bagi guru dan kakitangan bukan mengajar.

"Oleh itu, menjadi tanggungjawab pentadbir, kementerian dan Pejabat Pendidikan Daerah memastikan keseluruhan sekolah berada dalam keadaan selamat, sekali gus tiada perkara yang boleh mengundang bahaya.

"Saya percaya jika semua pihak bekerjasama, kita dapat membendung kejadian tidak diingini," katanya selepas merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benoni, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus NIOSH Sabah, Mohd Hussin Abd Salam; Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Sabah, Herdianshah Abd Karim; Pegawai Pendidikan Daerah Papar, Abidin Marjan dan Pengetua SMK Benoni, Mozidah Hamzah.

Lam Thye berkata, perangkaan kemalangan sektor pendidikan menunjukkan sejak tahun 2012 hingga tahun lalu, sebanyak 28 kes dilaporkan membabitkan dua kematian.

Sehubungan itu, beliau menyarankan Kementerian Pendidikan memasukkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) dalam program keselamatan di sekolah.

Berita Harian X