Selasa, 9 Februari 2016 | 4:03pm

Pak Wan tamatkan kayuhan 8,000km selama 76 hari

PAK Wan berjaya mencatat nama dalam Malaysia Book of Records selepas menamatkan misi kayuhan solo ketiga sejauh 2,500 kilometer membabitkan tiga negara, hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
PAK Wan berjaya mencatat nama dalam Malaysia Book of Records selepas menamatkan misi kayuhan solo ketiga sejauh 2,500 kilometer membabitkan tiga negara, hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Warga tua, Wan Hashim Wan Mahmood, 71, berjaya menamatkan misi kayuhan solo ketiga sejauh 2,500 kilometer membabitkan tiga negara, hari ini.

Wan Hashim atau lebih dikenali sebagai Pak Wan, menamatkan misi kayuhan sejauh 8,000 kilometer selama 76 hari, menerusi tiga siri kayuhan sejak 26 November tahun lalu.

Misi kayuhan bapa kepada enam cahaya mata itu membabitkan Semenanjung Malaysia, Singapura dan Thailand.

Pak Wan tiba di Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan kira-kira jam 12.30 tengah hari disambut Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan, Datuk Md Anizam Abdul Rahman serta ahli keluarga.

Pak Wan, ketika ditemui, berkata dia bersyukur kerana selepas 76 hari berusaha melakukan kayuhan akhirnya dia dapat menamatkan misi yang dilakukan bersempena Tahun Melawat Kelantan 2016 itu.

"Alhamdulillah sepanjang melakukan tiga siri kayuhan itu, saya tidak berhadapan cabaran yang terlalu besar dan dapat menempuhinya dengan baik.

"Hari ini sekali lagi nama saya tercatat dalam Malaysia Book of Records. Usaha saya ternyata tidak sia-sia apabila berjaya menaikkan nama Kelantan dan semangat saya tidak akan terhenti di sini," katanya.

Pada majlis berkenaan, Md Anizam turut menyerahkan cek bernilai RM10,000 kepada Pak Wan bagi menghargai semangat dan usaha yang dilakukan warga tua itu.

Berita Harian X