Selasa, 2 Februari 2016 | 10:46am

Dua jalur spektrum diagihkan menjelang Ogos - SKMM

Datuk Seri Dr Halim Shafie
Datuk Seri Dr Halim Shafie

KUALA LUMPUR: Dua jalur spektrum - 900MHz dan 1800 MHz - akan diagihkan semula kepada empat pengusaha komunikasi menjelang Ogos ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Seri Dr Halim Shafie.

Beliau berkata, langkah itu adalah selaras dengan keputusan kerajaan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber spektrum melalui pengagihan semula dan bidaan.

"Kedua-dua jalur spektrum berkenaan akan diperuntukkan kepada Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile untuk tempoh 15 tahun dengan bayaran fi.

"Pemilihan empat pengusaha ini disebabkan mereka telah mempunyai asas infrastruktur yang boleh diperluaskan untuk meningkatkan lagi daya saing dalam industri komunikasi. Penguntukan penuh blok spektrum baharu ini dijangkakan mulai 1 Julai 2017," katanya.

Halim berkata, pengagihan semula ini mengambil kira pembangunan sektor berkenaan dan negara secara keseluruhannya.

"Secara khusus, keutamaan diberi terhadap liputan komunikasi, kualiti perkhidmatan dan harga perkhidmatan yang berpatutan.

"Walaupun bayaran fi akan dikenakan untuk spektrum ini, kami menyedari bahawa para pengusaha memerlukan modal yang mencukupi untuk memperkenalkan dan memperluaskan perkhidmatan baharu ini," katanya.

Beliau berkata, proses pengagihan semua itu bertujuan memastikan spektrum berkenaan digunakan secara cekap.

"MCMC juga akan mengoptimumkan penggunaan jalur spektrum lain yang relevan, termasuk jalur 700 MHz, 2300 MHz dan 2600 MHz, menjelang akhir 2016," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X