Ahad, 24 Januari 2016 | 1:20pm

Jaga keselamatan penganut Hindu sempurna nazar - Subramaniam

PRESIDEN MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam.
PRESIDEN MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

GOMBAK: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta membantu memastikan keselamatan penganut Hindu yang berjalan jauh bagi menyempurnakan nazar.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata langkah itu perlu bagi mengelak kemalangan seperti yang berlaku pagi semalam, sehingga mengakibatkan tiga maut.

"Insiden itu membangkitkan satu persoalan mengenai keselamatan penganut Hindu yang mahu menunaikan nazar mereka bagi menyempurnakan sebahagian ibadahnya.

"Dalam keperluan untuk tingkatkan keselamatan, kita mohon jasa baik polis untuk memberi sokongan keselamatan kepada kumpulan terbabit pada masa depan. Kita tidak mahu kes ini berulang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir menyambut perayaan Thaipusam di Batu Caves, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Kuil Dhevadthanam Sri Maha Mariamman, Tan Sri R Nadarajah; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S K Devamany; bekas Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk S Saravanan.

Dalam kejadian pada jam 8.30 pagi semalam, tiga penganut Hindu yang menyertai rombongan berarak secara berjalan dari Senawang ke Batu Caves sempena Thaipusam, maut dirempuh sebuah kereta di Lebuhraya Seremban-Kuala Lumpur berhampiran Seri Petaling.

Sementara itu, Subramaniam berkata, sebuah Pusat Kebudayaan India akan dibangunkan di Batu Caves.

Beliau berkata, penubuhan pusat seumpama itu dijangka mampu menarik kehadiran lebih ramai pengunjung, selain menunjukkan identiti Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan harmoni.

"MIC akan memberi kerjasama penuh untuk usaha membangunkan pusat kebudayaan ini," katanya sambil memaklumkan 1.4 juta pengunjung, termasuk pelancong luar hadir ke Batu Caves sejak 15 Januari lalu bagi meraikan dan menyambut Thaipusam.

Menyentuh rancangan pembinaan kereta kabel di Batu Caves sebagai usaha menambah kemudahan baharu di sana, Subramaniam berkata, pihak pengurusan kuil akan terus berbincang dengan pihak berkuasa negeri bagi mencari jalan penyelesaian muktamad, termasuk jaminan kepada alam sekitar.

"Kita akan terus bincang dan mencari penyelesaian tanpa merosakkan alam sekitar dan keindahan di kawasan ini. Pembinaan itu akan memudahkan orang ramai terutama mereka yang sakit dan warga emas," katanya.

Berita Harian X