Jumaat, 22 Januari 2016 | 3:44pm

Pindah kredit pengajian tinggi dengan pengalaman kerja

RUJHAN menunjukkan salinan Akuan Integriti pada Majlis Amanat Tahun Baharu di Menara PKNS, Petaling Jaya, hari ini. - Foto Shiraz Ali
RUJHAN menunjukkan salinan Akuan Integriti pada Majlis Amanat Tahun Baharu di Menara PKNS, Petaling Jaya, hari ini. - Foto Shiraz Ali

PETALING JAYA: Pelaksanaan sistem pemindahan kredit berdasarkan pengalaman kerja untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dijangka boleh dilaksanakan selewat-lewatnya Jun ini.

Skim APEL (C) adalah peluasan kepada program Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) yang diperkenalkan pada 2011.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa, berkata sebanyak 80 peratus instrumen penilaian itu sudah siap.

"APEL dilancarkan pada tahun 2011 untuk tujuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) sahaja, sementara APEL (C) pula bagi mendapatkan pemindahan kredit.

"Ini bermakna mereka yang berpengalaman luas bukan saja boleh mengikuti program pengajian di IPT tetapi juga menggunakan pengalaman itu untuk pengecualian mengambil mata pelajaran tertentu," katanya selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2016 MQA di sini, hari ini.

Kaedah ini membolehkan pelajar melengkapkan pengajian dalam tempoh lebih singkat, mengelakkan pembelajaran berulang dan mengiktiraf pengalaman pembelajaran yang diperoleh di luar aliran formal.

Penilaian bagi tujuan penganugerahan kredit APEL (C) akan diuruskan IPT berdasarkan garis panduan dan instrumen dibina MQA bagi memastikan kualiti terjamin.

Tiada had umur tertentu untuk memohon APEL (C) kerana ia dibina bagi mewujudkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dan menjadikan sistem pendidikan tinggi negara lebih fleksibel.

Berita Harian X