Isnin, 18 Januari 2016 | 12:14pm

Malaysia negara pertama iktiraf kredit MOOCs

MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2016 kepada warga kerja kementeriannya, hari ini. - Foto BERNAMA
MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2016 kepada warga kerja kementeriannya, hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Malaysia akan meneroka dan melaksanakan pendekatan pendidikan fleksibel secara terancang, menyeluruh dan strategik mulai tahun ini.

Bagi tujuan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan membangunkan platform "Kursus Atas Talian Terbuka Secara Besar-Besaran (MOOCs) dengan Pengiktirafan dan Pemindahan Kredit", yang pertama seumpamanya di dunia, bagi membolehkan semua kursus MOOCs dari Malaysia dan luar negara didaftarkan dalam platform MOOCs dan diberikan kredit.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata melalui pendekatan itu, pelajar boleh mengikuti pengajian secara fleksibel di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada dalam dan luar negara sepanjang pengajian secara atas talian.

Idris berkata, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) diberi mandat untuk melaksanakan inisiatif MOOCs itu bagi tujuan penganugerahan sijil, diploma dan ijazah.

"Dasar ini akan menjadi dasar utama pendidikan tinggi negara dan bakal menjadi yang pertama di dunia seumpamanya.

"Inisiatif pengkreditan MOOCs akan menjadikan pendidikan tinggi Malaysia lebih fleksibel dan terbuka serta mampu menarik lebih ramai pelajar Malaysia dan dari seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Amanat Tahun Baharu 2016 di sini, pagi ini.

Berita Harian X