Isnin, 18 Januari 2016 | 12:10pm

Akta Alam Sekitar 1974 sudah lapuk - Wan Junaidi

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto Mohd Fadli Hamzah

SHAH ALAM: Akta Alam Sekitar 1974 yang lapuk serta ketinggalan zaman menyebabkan pelbagai pihak berani melakukan pencemaran alam sekitar.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata lebih mengecewakan, undang-undang sedia ada tidak memberikan sepenuhnya kuasa kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mengambil tindakan, sehingga menyebabkan jabatan itu 'tiada taring' dan tidak digeruni oleh pesalah alam sekitar.

Katanya, sebagai contoh dalam isu perlombongan bauksit di Kuantan, JAS tidak mampu berbuat apa-apa sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati selain ada yang mempersoalkan peranan jabatan berkenaan.

"Dalam isu bauksit, JAS hanya boleh ambil sampel air dan lakukan kajian mengenai kesan pencemaran...itu sahaja yang kita boleh lakukan setakat ini.

"Hasil sampel ini kita serahkan kepada pihak berkuasa kerajaan negeri untuk tindakan selanjutnya. Ini kerana, kerajaan negeri ada kuasa untuk ambil tindakan undang-undang, tetapi di peringkat Kerajaan Persekutuan kita tiada kuasa. Ini masalahnya dan perlu segera diperbetulkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium Kebangsaan Mengenai Pencemaran Marin di sini, hari ini.

Berita Harian X