CYBERJAYA: Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan menyampaikan biasiswa kepada 19 pelajar Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT) di sini, hari ini, menerusi program Dana Biasiswa Mahasiswa Sultan Ahmad Shah.
Turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom yang juga Canselor LUCT dan Presiden LUCT, Tan Sri Prof Lim Kok Wing.
Dana biasiswa yang berjumlah RM1.3 juta diberikan kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian mereka di ke peringkat diploma, ijazah dan pasca ijazah.
Dana itu diberikan setiap tahun kepada kira-kira 200 pelajar sepenuh masa yang berjumlah RM10 juta bagi membiayai yuran pengajian mereka.
Dana Biasiswa Mahasiswa Sultan Ahmad Shah dianugerahkan Sultan Ahmad Shah bagi memberi peluang kepada pelajar yang berbakat untuk mencapai potensi mereka dan menyumbang kepada memperkukuh sumber modal insan yang kreatif dan inovatif.