Selasa, 22 Disember 2015 | 10:23am

Tawau bergegar lagi

SEBAHAGIAN kakitangan awam berkumpul di pekarangan bangunan Wisma Persekutuan Tawau selepas gempa susulan berukuran 4.6 magnitud di Tarakan, Kalimantan jam 8.18 pagi tadi. - Foto Abdul Rahemang Taiming
SEBAHAGIAN kakitangan awam berkumpul di pekarangan bangunan Wisma Persekutuan Tawau selepas gempa susulan berukuran 4.6 magnitud di Tarakan, Kalimantan jam 8.18 pagi tadi. - Foto Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Penduduk daerah ini sekali lagi merasai gegaran kuat berikutan gempa susulan 4.6 magnitud di Tarakan, Kalimantan, kira-kira 96 kilometer barat daya Tawau jam 8.18 pagi tadi.

Gegaran beberapa saat itu menyebabkan kakitangan kerajaan di bangunan Wisma Persekutuan Tawau serta bangunan perniagaan dan hotel bergegas keluar daripada premis masing-masing.

Tinjauan BH di Wisma Persekutuan Tawau mendapati penjawat awam berkumpul di pekarangan bangunan berkenaan kira-kira 15 minit sebelum dibenarkan masuk semula selepas keadaan didapati selamat.

Kakitangan Jabatan Akauntan Negara, Hasnita Saung, 34, berkata gegaran dirasai selama beberapa saat selain peralatan pejabat bergegar.

Katanya, secara tiba-tiba dinding dan meja di pejabatnya di tingkat tujuh bangunan itu bergegar.

"Sejurus selepas itu, pihak keselamatan mengarahkan semua kakitangan mengosongkan pejabat bagi mengelak sebarang kejadian buruk," katanya.

Jam 2.47 pagi semalam, gempa bumi kuat berukuran 6.0 skala Richter berpusat di Tarakan mengakibatkan gegaran dirasai di beberapa daerah di pantai timur Sabah iaitu Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu namun tiada kerosakan dilaporkan.

Berita Harian X