Selasa, 22 Disember 2015 | 10:16am
PENGAYUH basikal warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood, 70 (tengah) bersama ahli keluarganya setelah selesai pusingan pertama dari tiga pusingan sejauh 2,500 kilometer dalam tempoh 24 hari dalam Misi Kayuhan Solo Jelajah Semenanjung Malaysia-Singapura-Selatan Thailand sempena Tahun Melawat Kelantan 2016. - Foto Faris Zainuldin.
PENGAYUH basikal warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood, 70 (tengah) bersama ahli keluarganya setelah selesai pusingan pertama dari tiga pusingan sejauh 2,500 kilometer dalam tempoh 24 hari dalam Misi Kayuhan Solo Jelajah Semenanjung Malaysia-Singapura-Selatan Thailand sempena Tahun Melawat Kelantan 2016. - Foto Faris Zainuldin.

Pak Wan gagah teruskan pusingan kedua 

KOTA BHARU: Pengayuh solo Wan Hashim Wan Mahmood atau Pak Wan memulakan pusingan kedua sejauh 2,500 kilometer (km) bermula di sini hari ini, menuju ke Singapura dan Thailand sebelum kembali ke tanah air. 

Wan Hashim meneruskan pusingan itu selepas berehat tiga hari sebaik saja menamatkan misi kayuhan pertama mengelilingi Semenanjung Malaysia, Singapura dan selatan Thailand, yang bermula 26 November lalu.

Datuk kepada 19 cucu itu berkata, beliau bersyukur dikurniakan kesihatan baik oleh Allah untuk meneruskan misi kayuhan pusingan itu sempena Tahun Melawat Kelantan 2016 .

"Saya hanya berehat tiga hari selepas menamatkan pusingan pertama sebelum meneruskan misi pusingan kedua hari ini. Untuk misi ini, saya membawa Sistem Kedudukan Global (GPS) bersama bagi memudahkan saya mencari lokasi yang hendak ditujui. 

"Saya percaya mampu menamatkan pusingan kedua lebih awal berbanding 24 hari pada pusingan pertama kerana ingin mencapai sasaran 80 hari untuk ketiga-tiga pusingan. Setiap hari, saya menyasar cuba menghabiskan kayuhan lebih 100 km.

"Banyak yang saya pelajari dalam kayuhan pusingan pertama lalu dan saya akan perbaiki kelemahan yang ada supaya perjalanan kali kedua ini lebih lancar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sebelum pada majlis pelepasan untuk pusingan kedua di pekarangan Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan di Jalan Sultan Ibrahim, di sini. 

Sebelum ini, Wan Hashim mencipta nama dalam Malaysia Book Of Record selepas menamatkan kayuhan berbasikal secara solo mengelilingi Semenanjung sejauh 2,200 km pada 28 Februari tahun lalu.

Bapa kepada enam cahaya mata itu sekali lagi mencipta nama pada Januari lalu apabila menamatkan misi kayuhan berbasikal ke Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura dan Riau, Indonesia serta jelajah negara ini sejauh 5,319 km.

Isterinya, Faridah Daud, 64, berkata beliau sentiasa menyokong minat suaminya walaupun berat melepaskannya setiap kali melakukan pengembaraan.

"Pada mulanya sukar juga untuk saya biarkan suami melakukan pengembaraan berbasikal sehingga ke luar negara kerana bimbang keselamatannya. Namun saya akur kerana ini impiannya dan saya sentiasa menyokongnya.

"Saya sentiasa berdoa keselamatan suami sepanjang kayuhan solonya dan berharap beliau berjaya memenuhi kejayaan misi ketiga ini, " katanya.

Berita Harian X