Ahad, 20 Disember 2015 | 3:51pm

Tubuh Majlis Keselamatan Air Negara elak tragedi - Lam Thye

PENGERUSI Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Luqman Hakim Zubir
PENGERUSI Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menubuhkan Majlis Keselamatan Air Negara (NWSC) bagi menangani peningkatan kes mati lemas selain menggalakkan budaya menjaga keselamatan ketika beriadah di kawasan berkaitan dengan aktiviti di dalam air.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata langkah itu bertepatan berikutan peningkatan kes mati lemas dan sudah tiba masanya kerajaan mengambil langkah menanganinya.

Katanya, NWSC yang dicadangkan itu perlu terdiri daripada agensi kerajaan, wakil NGO, badan sukarelawan dan sektor swasta.

"Di Malaysia, tidak ada satu pihak berkuasa untuk menangani isu mati lemas ini. Berbeza dengan kemalangan jalan raya yang mana terdapat banyak jabatan dan agensi kerajaan diberi kuasa untuk menanganinya.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta polis hanya akan menjalankan tugas penyelamat selepas menerima panggilan atau laporan mengenai sesuatu kes. Tiada satu pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk mencegah dan menangani kes mati lemas ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, bagi mengulas kejadian lemas membabitkan lima sekeluarga di di Air Terjun Belukar Bukit, Terengganu kelmarin. 

Lee berkata, beliau dan Persatuan Penyelamat Kelemasan Malaysia (LSSM) sudah menghubungi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menerajui penubuhan Majlis Keselamatan Air Kebangsaan itu. 

"Cadangan kami telah mendapat sambutan positif daripada kementerian berkenaan dan langkah perlu sedang dilakukan oleh kementerian sebelum mendapat kelulusan Kabinet," katanya.

Beliau berkata, antara fungsi majlis berkenaan adalah bagi menggalakkan serta meningkatkan kemahiran berenang sebagai kemahiran hidup kritikal terutamanya dalam kalangan pelajar selain mendidik orang ramai kemahiran penyelamat yang boleh diaplikasikan pada waktu kecemasan.

"Majlis itu juga boleh menasihatkan reka bentuk binaan di persekitaran dekat dengan kemudahan rekreasi berkaitan air serta dilengkapi peralatan dan ciri keselamatan air terkini. Paling penting menyediakan garis panduan dalam menentu dan memaparkan papan tanda keselamatan air bersesuaian di seluruh tempat yang mempunyai kegiatan air seperti di resort, kolam renang hotel dan taman rekreasi air terjun.

Mengulas mengenai kejadian lemas itu, katanya lokasi kejadian iaitu air terjun boleh menjadi tempat yang berbahaya terutamanya pada musim hujan dan terdapatnya pusaran air. 

Katanya, orang awam sentiasa perlu diingatkan oleh pihak berkuasa tempatan mengenai risiko dan kemungkinan bahaya dengan meletakkan papan tanda yang sesuai di lokasi strategik di seluruh kawasan air untuk memberi amaran kepada orang awam tentang bahayanya kawasan itu.

"Kejadian lemas lebih kerap berlaku pada musim cuti sekolah yang mana anak bermain di pantai, sungai, air terjun dan kawasan air yang lain. Kanak-kanak terutamanya perlu diajar memahami tanda dan simbol dipaparkan di kawasan air di sekolah mereka selain simbol jalan raya," katanya.

   

Berita Harian X