Selasa, 15 Disember 2015 | 7:37pm

Perkenal baucar digital BB1M untuk elak ketirisan

TIMBALAN Presiden MABOPA, Arief Hakim Sani Rahmat. - Foto Aziah Azmee
TIMBALAN Presiden MABOPA, Arief Hakim Sani Rahmat. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) minta kerajaan menukar mekanisme pemberian Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) kepada baucar digital untuk mengelak ketirisan.

Timbalan Presiden, Arief Hakim Sani Rahmat, berkata melalui baucar digital, pelajar universiti boleh membeli buku secara e-dagang, sekali gus memberi akses lebih baik kepada pelajar di luar bandar untuk mendapat bahan bacaan bermutu tinggi.

"Baucar digital ini membantu pelajar luar bandar yang tidak mempunyai kedai buku yang baik di kawasan mereka kerana dapat membeli naskhah bermutu melalui pesanan dalam talian yang akan diposkan, selain buku elektronik (e-buku) yang umumnya lebih murah berbanding buku fizikal.

"Pada masa sama, penggunaan mekanisme digital ini bersifat 'real time' yang membolehkan semua vendor terbabit dipantau oleh kerajaan, sekali gus memudahkan audit Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)," katanya kepada BH di Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja Adakah Buku Elektronik Masa Depan Kita? pada Seminar Masa Depan Industri Penerbitan Malaysia.

Arief Hakim berkata, pihaknya mendapati mekanisme pemberian sedia ada menunjukkan kelemahan selepas beberapa tahun diadakan sehingga memerlukan kerajaan mengambil langkah segera mengatasi masalah itu seperti yang dilakukan untuk menambah baik skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM).

"Secara teknikal saya merasakan tidak sukar untuk melaksanakan mekanisme ini kerana kita sudah mempunyai infrastruktur termasuk pelbagai vendor sistem pembayaran misalnya iPay atau Webcash.

"Jika perlu, kerajaan juga boleh membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam industri buku seperti Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Perbadanan Kota Buku (PKB) bagi melaksanakan mekanisme ini.

"Bagi saya, ketirisan setakat satu atau dua peratus masih boleh diterima tetapi masalahnya dua pertiga daripada jumlah BB1M tidak diperoleh semula industri buku," katanya.

Beliau berkata, kerugian itu besar kepada pembayar cukai ini, sekali gus menggagalkan usaha melahirkan pelajar yang membaca.

Seminar Masa Depan Industri Penerbitan Malaysia itu dianjurkan Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) UM dengan kerjasama ITBM dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Ia menampilkan barisan pemain industri berpengaruh yang membicarakan masa depan penerbitan di negara ini dengan mengambil kira perkembangan mutakhir ini termasuk era pendigitalan.

Berita Harian X