Selasa, 8 Disember 2015 | 4:51pm

Persimpangan Bertingkat Seri Kembangan Lebuhraya MEX dibuka Ahad ini

PERSIMPANGAN bertingkat Seri Kembangan di Lebuhraya Maju Expressway Sdn Bhd (MEX). - Foto Muhd Asyraf Sawal
PERSIMPANGAN bertingkat Seri Kembangan di Lebuhraya Maju Expressway Sdn Bhd (MEX). - Foto Muhd Asyraf Sawal

KUALA LUMPUR: Persimpangan Bertingkat Seri Kembangan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (Lebuhraya MEX) di KM16.5 Lebuhraya MEX akan dibuka mulai Ahad ini.

Sehubungan itu, tempoh percubaan tanpa tol selama sebulan akan diberi kepada pengguna persimpangan bertingkat sepanjang 1.8 kilometer (km) itu dengan kadar tol sebenar akan diputuskan Kementerian Kerja Raya selepas itu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek persimpangan bertingkat itu membabitkan kos pembinaan RM112 juta yang ditanggung sepenuhnya oleh Maju Expressway Sdn Bhd dengan RM20 juta kos pengambilan tanah ditanggung kerajaan.

Fadillah berkata demikian selepas melawat Projek Persimpangan Bertingkat Seri Kembangan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (Lebuhraya MEX) di Plaza Tol Seri Kembangan, Lebuhraya MEX di sini sebentar tadi.

Persimpangan bertingkat yang menyediakan laluan masuk dari Jalan Putra Permai yang membolehkan pengguna ke Putrajaya menerusi MEX dengan lebih cepat berbanding menyusur laluan sejauh 17km ke lebuh raya berkenaan.

Persimpangan bertingkat itu dibina sejak 2 Disember 2013 dengan kos keseluruhan RM138 juta dibina bagi memberi pilihan kepada penduduk di Seri Kembangan dan kawasan sekitar yang kini mengalami masalah kesesakan trafik.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob; Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya (LLM), Datuk Ir Ismail Md Salleh; Pengarah Urusan Maju Expressway Sdn Bhd, Mohd Faiq Abu Sahid dan Ketua Pegawai Eksekutif Maju Expressway Sdn Bhd, Tan Sri Samsudin Hitam.

Berita Harian X