Jumaat, 4 Disember 2015 | 11:46pm

Najib lahirkan simpati banjir di Chennai

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa simpati kepada kerajaan dan rakyat India, terutama kepada mereka yang terjejas banjir di Chennai.

Perdana Menteri berkata, usaha sedang dilakukan untuk menentukan jumlah rakyat Malaysia yang berada dalam zon banjir itu.

"Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan India untuk mengetahui jumlah rakyat Malaysia di sana," kata Najib dalam akaun Facebooknya.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir itu perlu menghubungi pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Chennai

"Untuk maklumat lanjut atau bantuan, terutama rakyat Malaysia yang terjejas banjir di Chennai, sila hubungi bilik gerakan krisis banjir pejabat konsul jeneral di talian +91-44-2433-4434/35/36," katanya.

Dilaporkan lebih 90 pelancong dan pelajar Malaysia masih terkandas di hotel dan rumah masing-masing akibat banjir buruk yang melanda Chennai di Tamil Nadu, yang terletak di bahagian selatan India.

Sekurang-kurangnya 280 orang dilaporkan maut akibat bencana itu. - BERNAMA

Berita Harian X