Selasa, 1 Disember 2015 | 9:30pm

Festival Dua Roda Malaysia dijangka meriah

SEBAHAGIAN jawatankuasa penganjur bersama motorsikal berkuasa tinggi pada sidang media Festival Dua Roda Malaysia (M2WF) di Kompleks Pelancongan Malaysia (MATIC) . - Foto NSTP
SEBAHAGIAN jawatankuasa penganjur bersama motorsikal berkuasa tinggi pada sidang media Festival Dua Roda Malaysia (M2WF) di Kompleks Pelancongan Malaysia (MATIC) . - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Festival Dua Roda Malaysia (M2WF) edisi ketiga yang akan berlangsung selama empat hari bermula esok di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, di sini, dijangka menarik lebih 30,000 pengunjung.

Jangkaan itu, berikutan konsep penganjuran festival permotoran terbesar itu, musim ini, bukan hanya membabitkan motosikal berkuasa tinggi, juga semua jenis kenderaan beroda dua termasuk basikal dan skuter kanak-kanak.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjurannya Wan Shairi San Ahmad, berkata jumlah orang ramai di bandar-bandar utama di negara ini termasuk di Kuala Lumpur dan Selangor yang aktif dengan aktiviti bermotosikal dan berbasikal terutama pada waktu malam dan hujung minggu kini semakin meningkat berbanding 2013.

Beliau berkata, ada dalam kalangan mereka yang meminati bermotosikal berkuasa tinggi terdiri daripada pasangan suami-isteri atau sebuah keluarga yang meminati acara berbasikal.

Katanya, dalam festival serupa tahun lalu, pihaknya berjaya menarik 12,073 pengunjung, melonjak lebih sekali ganda berbanding festival pertama yang diperkenalkan pada 2013 yang menarik 5,528 pengunjung.

"Daripada promosi berkaitan festival itu yang dijalankan sejak April lalu, pihaknya mendapat sambutan menggalakkan menjangkakan lebih 30,000 akan mengunjungi acara terbabit.

"Tahun ini beberapa pemilik motosikal berkuasa tinggi dari Thailand, Singapura dan Indonesia sudah mengesahkan kehadiran mereka," katanya kepada Kembara.

Wan Shairi yang juga Pengarah Urusan WSF Travel & Tours Sdn Bhd berkata, pelbagai aktiviti menarik yang berkaitan bidang permotoran akan diadakan sepanjang empat hari itu.

Beliau berkata, objektif festival ini untuk mendedahkan semua pihak yang terbabit dalam aktiviti permotoran dua roda mengenai teknologi terkini, tips berguna dan maklumat terbaru yang sedang berlaku dalam sektor berkenaan.

M2WF membawa konsep "Rides Of The Future " juga mendapat sokongan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, acara menarik yang akan dicatatkan dalam 'Malaysia Book of Records' ialah perarakan 2,500 pelbagai jenis motosikal serta pengumpulan 3,000 pemilik Yamaha RXZ dari model pertama hingga model terkini sempena perayaan 30 tahun Yamaha RXZ di Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Promosi Domestik Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof pula berkata, pihaknya menyokong penuh penganjuran M2WF ekoran jumlah warga negara ini yang terbabit dan aktif dengan aktiviti bermotosikal dan berbasikal semakin bertambah.

Sehubungan itu, katanya pihaknya akan membuat kejutan dengan memperkenalkan beberapa pakej pelancongan khas tempatan, yang difikirkan sesuai untuk pengembara yang terdiri daripada pemilik motosikal berkuasa tinggi.

Berita Harian X