Rabu, 25 November 2015 | 3:40pm

Sarawak dilanda banjir, satu pusat pemindahan dibuka

MIRI: Hujan berterusan sejak semalam hingga hari ini menyebabkan beberapa kampung di Trusan dan Sundar di Lawas, Limbang dinaiki air menyebabkan 48 mangsa banjir dipindahkan ke Dewan Masyarakat Lawas setakat jam 2 petang ini.

Menurut statistik disediakan polis Lawas, antara kawasan terjejas banjir di Trusan ialah Kampung Seberang Kedai, Kampung Tengah, Kampung Gelapas dan Kedai lama Trusan manakala di Sundar ialah Kampung Sebelah Sundar, Kampung Baru, SK Luagan, Kampung Bingkiai, Kampung Sinampuan dan Balai Polis Sundar.

Sebanyak 34 orang daripada 10 keluarga dari Kampung Gelapas adalah antara mangsa banjir terawal dipindahkan ke pusat pemindahan pada kira-kira 12 tengah hari ini.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Limbang, Suboh Posa, berkata mereka dipindahkan ke pusat pemindahan kerana air daripada kawasan hulu telah mula menaiki kawasan kampung berkenaan.

"Kami menjangka air akan naik lagi dan jumlah penduduk dipindahkan akan bertambah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Penolong Pegawai Tadbir Daerah Lawas Siti Rohana Tuah berkata, dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk dihantar ke sekolah bagi menduduki peperiksaan.

Pegawai Daerah Lawas Husaini Hakim menasihatkan penduduk untuk berpindah jika diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa bagi kemudahan mereka.

- BERNAMA

Berita Harian X