Selasa, 24 November 2015 | 4:38pm

Undang-undang baharu digubal pastikan keberkesanan pengurusan sumber air

MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kiri) memukul gong ketika merasmikan 3rd International Conference on Water Resources (ICWR) 2015, di Langkawi hari ini. Turut hadir Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Jakarta, Prof Dr Shahbaz Khan (kanan) dan Pengerusi ICWR 2015, Prof Dr Sobri Harun. - Foto BERNAMA
MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kiri) memukul gong ketika merasmikan 3rd International Conference on Water Resources (ICWR) 2015, di Langkawi hari ini. Turut hadir Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Jakarta, Prof Dr Shahbaz Khan (kanan) dan Pengerusi ICWR 2015, Prof Dr Sobri Harun. - Foto BERNAMA

LANGKAWI: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sedang dalam proses menggubal undang-undang baharu bagi memastikan pengurusan sumber bekalan air negara dilaksanakan dengan lebih lestari dan berkesan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata penggubalan rang undang-undang itu turut akan mengambil kira pandangan kerajaan negeri dan pihak-pihak berkepentingan.

"Kementerian telahpun merangka rang undang-undang baharu ini. Jangkaan kami, rang undang-undang itu boleh dikemukakan pada Dewan Rakyat seawal Disember tahun depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Tentang Bekalan Air 2015 (ICWR) di sini, hari ini.

Katanya, rang undang-undang baharu itu penting untuk memastikan semua pihak berkepentingan mematuhi kehendak-kehendak yang digariskan oleh Dasar Air Negara.

Terdahulu, semasa merasmikan persidangan itu, beliau berkata sektor air global sedang berdepan cabaran besar akibat kemunculan ancaman perubahan iklim, pertumbuhan pesat populasi dan urbanisasi, perubahan demografi dan kekangan tenaga.

Cabaran itu, katanya akan menyebabkan tekanan terhadap bekalan air dengan angka Pertubuhan Bangsa Bersatu menunjukkan hampir 0.8 bilion orang berdepan masalah untukakses kepada sumber air selamat diminum.

Untuk mencapai penyelesaian dalam memastikan daya tahan dan kelestarian air dan sanitasi adalah cabaran utama, kata Wan Junaidi.

"Berikutan kekurangan dan ketidaktentuan sumber air dan kesannya terhadap penduduk, tenaga, makanan dan ekosistem, cabaran sumber air bagi menjamin bekalan air perlu dijadikan agenda utama setiap kerajaan di dunia ini," katanya.

Penyelesaian pengurusan air lestari di masa depan, katanya memerlukan cabaran berkenaan ditangani secara efektif.

- BERNAMA

Berita Harian X