Sabtu, 14 November 2015 | 11:58am

469 terima darjah, pingat Melaka sesi ketiga

Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob menganugerahkan pingat Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M) kepada Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Wira Alwi Ibrahim ketika Adat Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Yang Dipertua Negeri ke-77 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad
Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob menganugerahkan pingat Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M) kepada Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Wira Alwi Ibrahim ketika Adat Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Yang Dipertua Negeri ke-77 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

AYER KEROH: Seramai 469 orang menerima darjah, bintang dan pingat kebesaran kerajaan Melaka, termasuk 71 yang membawa gelaran Datuk pada istiadat penganugerahan sempena sambutan ulang tahun ke-77 Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob bagi sesi ketiga di Seri Negeri di sini, sebentar tadi.

Mengetuai senarai adalah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wira Alwi Ibrahim; Pengerusi Media Prima Bhd, Datuk Seri F D Iskandar dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mustafar Ali.

Ketiga-tiga mereka menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira.

Dua individu menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk adalah Pengerusi JH Italia Sdn Bhd, Datuk Seri Wang Yen Liang dan Pengerusi Eksekutif Lembaga Pengarah Xinyi Glass Holdings Ltd, Datuk Lee Yin Yee.

Sementara itu, seramai 69 individu menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang turut membawa gelaran Datuk antaranya Setiausaha Politik Kementerian Kewangan II, Datuk Shamsul Zairil Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Senai-Desaru Expressway Bhd (SDEB), Datuk Mustaza Salim dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Baharom Embi.

Pada majlis sama, seramai 33 individu menerima Darjah Seri Melaka (DSM), termasuk Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Nazili Mahmood dan jaguh pelari pecut Asia yang juga pegawai polis di Bukit Aman, Asisten Komisioner Rabuan Pit.

Seramai 57 individu menerima Bintang Cemerlang Melaka (BCM), 64 Bintang Khidmat Terpuji (BKT), 121 Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 84 Pingat Bakti Masyarakat (PBM), dan 12 Pingat Khidmat Lama (PKL).

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Mohamad serta barisan EXCO kerajaan negeri.

Sesi pertama dan kedua istiadat penganugerahan berkenaan sebelum ini diadakan di tempat sama pada 10 dan 11 Oktober lalu, manakala sesi ketiga pada hari ini.

Berita Harian X