Jumaat, 13 November 2015 | 12:25pm

Suhu laut perairan negara meningkat

KETUA Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan (kiri) menunjukkan buku Pelan Strategik Pengurusan Perikanan Tangkapan Malaysia (2015-2020), pada sidang media selepas majlis makan malam Persidangan Pegawai Kanan Jabatan Perikanan 2015 dan Pelancaran Pelan Strategik Pengurusan Perikanan Tangkapan Malaysia (2015-2010). - Foto BERNAMA
KETUA Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan (kiri) menunjukkan buku Pelan Strategik Pengurusan Perikanan Tangkapan Malaysia (2015-2020), pada sidang media selepas majlis makan malam Persidangan Pegawai Kanan Jabatan Perikanan 2015 dan Pelancaran Pelan Strategik Pengurusan Perikanan Tangkapan Malaysia (2015-2010). - Foto BERNAMA

MELAKA: Suhu laut yang dijangka meningkat tiga darjah Celcius dalam tempoh 100 tahun akan menjejaskan sumber ikan di perairan negara terutama ikan plagik kembung, selar, selayang dan tamban.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan berkata menerusi kajian impak perubahan iklim terhadap perikanan tangkapan negara mendapati suhu permukaan laut di perairan Malaysia meningkat antara 0.5 hingga 1.1 darjah Celsius dalam tempoh 30 tahun sejak 1985.

Berdasarkan kajian itu, katanya suhu permukaan laut di pantai barat Semenanjung meningkat sebanyak 1.1 darjah Celsius, manakala pantai timur Semenanjung dan perairan Sarawak masing-masing meningkat satu darjah Celsius.

Bagi Laut Sulu dan Sulawesi di Sabah, ia meningkat 0.5 darjah Celsius dalam tempoh itu.

"Peningkatan suhu di permukaan laut ini akan menyebabkan klorofil dalam laut menurun dan ikan plagik yang makan kandungan plankton secara tidak langsung akan berkurangan.

"Suhu ini sekiranya meningkat sehingga tiga darjah Celsius terutama di perairan pantai timur Semenanjung dalam tempoh 100 tahun iaitu pada 2100 kita jangkakan ikan kembung akan pupus," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas jamuan malam sempena Persidangan Pegawai Kanan Jabatan Perikanan 2015 dan Pelancaran Pelan Strategik Pengurusan Perikanan Tangkapan Malaysia 2015-2010 di sini, malam tadi.

Ismail berkata, kerajaan melalui Jabatan Perikanan akan meningkatkan penanaman rumpai laut di perairan negara bagi mengekang kenaikan suhu di permukaan laut terutama di perairan pantai timur dan barat Semenanjung.

"Penanaman rumpai laut ini mampu menyejukkan permukaan laut. Sebagai contoh, kenaikan suhu di permukaan laut di Sabah dan Sarawak hanya meningkat 0.5 darjah Celsius kerana terdapat banyak rumpai laut di perairan itu," katanya.

Beliau berkata, antara kawasan yang dilihat sesuai untuk penanaman rumpai laut ialah di Langkawi di Kedah dan Pulau Pinang.

Katanya, rakyat di negara ini juga diseru untuk bersama-sama membantu mengurangkan pelepasan karbon dioksida yang menyumbang kepada peningkatan suhu di permukaan perairan negara.

-- BERNAMA

Berita Harian X