Selasa, 10 November 2015 | 4:45pm

Wakil media 17 negara sertai Deepavali kebangsaan di Kedah

ALOR SETAR: Seramai 152 pengamal media dan ejen pelancongan daripada 17 negara akan menyertai sambutan Rumah Terbuka Deepavali 2015 peringkat kebangsaan di Padang Awam Kulim, esok.

Program di bawah Mega Familiarisation Programme anjuran Tourism Malaysia itu disertai peserta dari Australia, China, Korea, India, Indonesia dan Amerika Syarikat untuk mempromosikan pakej pelancongan yang ditawarkan di Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, (Promosi Antarabangsa) Datuk Azizan Noordin berkata sempena sambutan rumah terbuka Deepavali esok, peserta turut diberikan taklimat mengenai produk pelancongan di Kedah dan Perlis.

"Kita berharap peserta dapat merasai sendiri kemeriahan sambutan perayaan Deepavali dengan harapan dapat memberi gambaran apa yang mampu Malaysia tawarkan apabila mereka datang bercuti di sini," katanya pada sidang media hari ini.

Kira-kira 50,000 masyarakat India dan kaum lain dijangka turut serta dalam sambutan itu yang bakal disertai Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Perdana Menteri. Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, EXCO Agama, Hal Ehwal Agama Masyarakat Siam, Kerja Raya, Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata Kedah meminta pelancong melihat apa yang Kedah dapat tawarkan kepada mereka.

"Seperti kita sedia maklum, pelancong yang datang ke Kedah akan tertumpu di Langkawi sedangkan banyak produk-produk pelancongan yang lain disediakan di tanah besar Kedah," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang giat mempromosikan Tahun Melawat Kedah 2016 Discover Kedah selain berusaha menjadikan Gunung Jerai sebagai Geopark kedua selepas Langkawi.

"Kertas cadangan untuk menjadikan Gunung Jerai sebagai Geopark sedang dibuat sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri dan berharap impian melihat gunung itu muncul sebagai Geopark kedua negeri ini tercapai," katanya.

-- BERNAMA

Berita Harian X