Selasa, 10 November 2015 | 4:13pm

Kedah negeri pertama laksana BSRLB

EXCO Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd Tajudin Abdullah
EXCO Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd Tajudin Abdullah

ALOR SETAR: Kedah menjadi negeri pertama di Malaysia melaksanakan program Bantuan Sewa Rumah Luar Bandar (BSRLB) melalui peruntukannya sebanyak RM1 juta, bermula 1 November lalu.

EXCO Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata melalui peruntukan itu, sebanyak 555 Ketua Isi Rumah bakal mendapat manfaat dengan kadar bantuan sewa rumah itu tertakluk kepada nilai sewaan rumah atau jumlah maksimum RM150 sebulan.

Katanya, ia mampu mengurangkan beban keluarga miskin untuk menyewa rumah yang selamat dan sesuai untuk didiami dalam tempoh tertentu.

"Program ini juga dapat membantu penduduk luar bandar yang tidak layak untuk mendapatkan Program Bantuan Rumah (PBR) supaya sekurang-kurangnya mempunyai tempat tinggal," katanya kepada Bernama di sini.

Mereka yang ingin memohon bantuan itu mesti mendaftar dan disahkan status kemiskinan dalam sistem e-Kasih selain diperakui dalam Mesyuarat Kumpulan Fokus mengenai Pembasmian Kemiskinan Daerah.

- BERNAMA

Berita Harian X