Isnin, 9 November 2015 | 2:38pm

Rais Yatim hasilkan buku Adat Perpatih

MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan melihat buku 'Adat The Legacy of Minangkabau' hasil tulisan dan kajian Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim (tengah) pada majlis pelancarannya di Negeri Sembilan, hari ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman
MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan melihat buku 'Adat The Legacy of Minangkabau' hasil tulisan dan kajian Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim (tengah) pada majlis pelancarannya di Negeri Sembilan, hari ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman

SEREMBAN: Kerajaan negeri akan menyokong penerbitan lebih banyak buku ilmiah berkaitan Adat Perpatih, yang akan menjadi sumber rujukan generasi sekarang dan masa hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pengumpulan maklumat terutama mengenai pelaksanaan adat berkenaan perlu dilakukan segera supaya tidak lupus ditelan zaman.

"Adat Perpatih dan sistem pelaksanaannya diturunkan secara lisan dari generasi ke generasi, selain orang muda melihat dan mengamalkan perbuatan yang dilakukan oleh orang lebih tua dalam satu kelompok masyarakat.

"Kerajaan negeri pernah memberi peruntukan kepada sebuah universiti untuk melakukan kajian mengenainya beberapa tahun lalu, namun tidak mendapat hasil.

"Jadi, boleh dikatakan hingga kini, belum ada dokumen bertulis yang menerangkan dengan terperinci mengenai sistem Adat Perpatih ini untuk dijadikan sumber rujukan utama. Kita bimbang, amalan adat ini akan hilang suatu hari nanti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran buku 'Adat The Legacy Of Minangkabau' di sini, hari ini.

Buku itu adalah hasil tulisan dan kajian selama tiga tahun Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Sementara itu, Rais dalam ucapannya berkata, buku ilmiah yang ditulis dalam Bahasa Inggeris berkenaan, mengupas mengenai asal usul adat di Negeri Sembilan selain evolusi yang berlaku.

Katanya, buku itu ditulis dalam Bahasa Inggeris bagi membolehkan masyarakat luar, memahami seterusnya mendalami adat yang sangat unik dan menarik yang diamalkan di negeri ini.

Berita Harian X