Ahad, 8 November 2015 | 1:55pm
SUBRAMANIAM (dua dari kanan) beramah mesra bersama penduduk setempat ketika Program Gotong Royong Mega peringkat kebangsaan di Kampung Sungai Kayu Ara, hari ini. - Foto Ghazali Kori
SUBRAMANIAM (dua dari kanan) beramah mesra bersama penduduk setempat ketika Program Gotong Royong Mega peringkat kebangsaan di Kampung Sungai Kayu Ara, hari ini. - Foto Ghazali Kori

Gotong royong mega basmi Aedes

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan hari ini melancarkan program gotong royong mega di 15 kawasan panas di seluruh negara secara serentak bagi membasmi pembiakan nyamuk Aedes.

Program yang sama di Melaka dan Johor akan diadakan kemudian.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam, berkata program itu memberi fokus kepada kawasan tanah atau lot kosong kerana hasil pemantauan kementerian itu tahun ini mendapati longgokan sampah di kawasan berkenaan menyumbang kepada 18 peratus pembiakan Aedes di negara ini.

"Bagi kawasan yang mempunyai pemilik, kita beri notis kepada pemilik tanah untuk bersihkan kawasan mereka. Namun jika tiada tindakan diambil, maka dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, ia akan dibersihkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Gotong Royong Mega peringkat kebangsaan di Kampung Sungai Kayu Ara di sini, hari ini.

Dr Subramaniam berkata, selain 15 kawasan, beberapa agensi kerajaan akan turut menjalankan gotong royong di cawangan dan fasiliti masing-masing iaitu membabitkan semua kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kuarters polis dan Pusat Latihan Rela di seluruh negara.

"Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional pula menyelaraskan aktiviti gotong royong di 222 lokasi taska dan kawasan Rukun Tetangga di bawah jabatan berkenaan," katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan hari ini ialah pembersihan longgokan sampah, pemeriksaan tapak bangunan, pengalihan kereta terbiar, aktiviti "larviciding" (kaedah pencegahan secara ekologi bagi menyekat perkembangan larva atau pupa menjadi nyamuk dewasa), semburan kabus dan pendidikan kesihatan kepada masyarakat.

Dr Subramanian berkata, Kg Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya dipilih bagi pelaksanaan program gotong royong kerana ia adalah lokaliti kawasan panas dengan mencatat dua kematian dan 372 kes demam denggi sepanjang tahun ini hingga 31 Oktober lalu, meningkat 128 peratus berbanding tahun lalu.

Bagi seluruh negara, sebanyak 282 kematian dan 102,217 kes demam denggi denggi dilaporkan tahun ini berbanding 162 kematian dan 86,192 kes tahun lalu.

Sementara itu di PUTRAJAYA, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (Operasi), Datuk Che Azemi Haron, berkata pihaknya akan terus menyokong sebarang usaha termasuk kempen gotong royong bagi mengindahkan alam sekitar selain mencegah penularan wabak demam denggi.

"Kementerian akan terus terbabit dengan program seperti ini kerana selain dapat mendidik kakitangan tentang kebersihan, ia juga dapat mengeratkan hubungan antara warga kementerian dengan penduduk di kawasan yang terbabit," katanya selepas menyertai program Gotong Royong Mega di Surau al-Ikhwan Desa Pinggiran Putra.

Berita Harian X