X
Sabtu, 7 November 2015 | 9:06am

MamaCare bantu wanita berkerjaya

PESERTA Program MamaCare. - Foto Jeakqleyn Yacho
PESERTA Program MamaCare. - Foto Jeakqleyn Yacho

Kuching: Status wanita berkerjaya sama sekali tidak menghalang dua wanita yang berkecimpung aktif dalam dunia perniagaan mengekalkan kesejahteraan keluarga masing-masing.

Biarpun terpaksa berdepan pelbagai cabaran dalam usaha mengimbangkan tumpuan antara kerjaya dan keluarga, namun segala kesukaran itu berjaya di atasi mereka dengan penuh kesabaran.

Ini diakui peserta MamaCare, Noraini Abg Murad, 61, yang berjaya mengembangkan perniagaan rawatan urut tradisional yang diusahakannya tanpa mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu.

Malah, beliau turut menganggap rahsia kejayaannya adalah disebabkan dorongan oleh ahli keluarganya sendiri, terutama anak-anaknya yang amat memahami kecenderungannya terhadap bidang perniagaan.

"Hubungan saya dan anak-anak amat rapat, malah sering meluangkan masa bersama mereka. Biarpun sibuk dengan urusan perniagaan, tugasan sebagai suri rumah, ..menyiapkan segala keperluan anak-anak tidak pernah saya abaikan.

"Ini memang tugas mencabar, lebih-lebih lagi selepas kematian suami sejak enam tahun lalu. Saya perlu berperanan sebagai ibu dan ayah kepada anak-anak dalam satu masa.

Namun, saya bersyukur kerana anak-anak amat memahami dan memberi sokongan terhadap perniagaan rawatan urut tradisional yang saya usahakan," katanya.

Beliau berkata, minat terhadap perniagaan itu turut dikongsi bersama anak lelaki bongsunya yang membantu perniagaan pusat khidmat kesihatan tradisional yang diusahakannya.

"Bila anak lelaki bongsu menyatakan mahu membantu saya menguruskan perniagaan ini, saya amat gembira dengan keputusannya kerana kami boleh menghabiskan lebih banyak masa bersama.

Dalam apa juga perkara, hubungan kekeluargaan sangat penting, malah perkara itu harus diberikan keutamaan," katanya.

Bagi rakannya, Norhayati Ismawi, 44, wanita berkerjaya perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga kerana kedua-duanya adalah resipi penting untuk mencipta kejayaan dalam kehidupan.

Norhayati yang turut menyertai Program MamaCare, menganggap pengurusan masa yang baik dapat memberi lebih banyak ruang untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga walaupun terpaksa menjalankan dua bidang tugas berbeza dalam satu masa.

"Bagi saya, resipi kejayaan paling berkesan adalah pembahagian masa yang betul dan mengikut jadual bagi memastikan kedua-duanya tidak disisihkan dari tumpuan utama. Semuanya terletak kepada kemahuan diri sendiri, ..jika kita kuat, maka kita akan berjaya dan begitu juga sebaliknya.

"Justeru, saya amat menitikberatkan jadual waktu tugasan dengan mengamalkan kaedah temu janji kerana pada waktu pagi, saya khaskan untuk menyediakan kelengkapan dan keperluan suami dan kelima-lima anak yang berusia lingkungan lapan hingga 25 tahun.

Pada sebelah petang pula, digunakan untuk pergi ke rumah pelanggan," katanya.

Program MamaCare yang dilancarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Kuching dan Sri Aman menarik penyertaan 39 suri rumah untuk mengikuti program berkenaan.

Dikendalikan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Program MamaCare adalah satu program latihan kemahiran komprehensif selama seminggu mengenai penjagaan ibu selepas bersalin.

Ia terbuka kepada kumpulan wanita berpendapatan rendah dan ibu tunggal bertujuan membantu meningkatkan sumber pendapatan mereka, seterusnya membantu mereka meningkatkan kemahiran diri.

Secara purata, pendapatan yang diperolehi kini mampu membuatkan mereka menarik nafas lega dan berbangga dengan kemahiran diperolehi.

Noraini dan Norhayati dijangka turut menyertai Sambutan BKK1M2015 bertemakan 'Saya Sayang Keluarga Saya' di Pusat Beli Belah CityOne Megamall, di sini yang bakal dirasmikan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dengan diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim pada jam 10.30 pagi ini.

Berita Harian X