Khamis, 5 November 2015 | 9:27pm

Najib janji bantuan kepada masyarakat India akan diteruskan

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika menyampaikan amanatnya di majlis penyampaian Geran Unit Khas Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) di Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika menyampaikan amanatnya di majlis penyampaian Geran Unit Khas Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) di Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR : Kerajaan berjanji akan meneruskan bantuan kepada masyarakat India bagi membantu kaum itu meningkatkan struktur, budaya dan ekonomi agar tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan sejak dulu komited untuk membantu setiap kumpulan etnik negara ini supaya pembangunan negara benar-benar bersifat inklusif, mampan, adil dan saksama.

"Kita mahu setiap kumpulan etnik besar atau kecil mengecapi nikmat daripada pembangunan negara supaya mereka tidak merasa ketinggalan dalam arus pembangunan negara," katanya dalam ucapan ketika majlis penyampaian geran Unit Khas Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kaum India di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam yang juga menteri kesihatan.

Najib berkata, sejak pentadbirannya pada tahun 2009, pelbagai inisiatif bantuan mula rancak diberikan kepada masyarakat India termasuk bantuan ekonomi melalui Tekun, SME dan Amanah Ikhtiar Malaysia.

"Percayalah bantuan ini akan kita teruskan," katanya.

Dalam pada itu, Najib menasihati masyarakat India negara ini agar mengenepikan perkara yang menjadi penghalang dan terus melihat ke hadapan demi mencapai kejayaan.

"Tadi Dr Subramaniam gunakan perkataan kronik.. saya tafsirkan bila sebut kronik berkaitan dengan masalah nilai, sikap dan budaya, ia perlu diubah.

"Jadi bagaimana kita berubah bukan hanya dengan beri bantuan dan projek tetapi juga perubahan dari segi daya berfikir atau perubahan budaya supaya boleh lebih mampan untuk bersaing, berdikari, dan bergerak untuk capai kejayaan lebih bermakna," katanya.

Najib juga berharap melalui MIC, parti komponen Barisan Nasional (BN) dan NGO yang menyokong BN akan memberi tumpuan membantu kaum India agar mereka boleh melalui proses perubahan yang membawa kepada perubahan struktur dan budaya pada masa akan datang.

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata, sokongan yang diberikan oleh masyarakat India negara ini dilihat tidak seimbang dengan bantuan kerajaan yang diberikan kepada kaum tersebut.

"Kita lihat ada berlaku 'sokongan yang terputus' daripada segelintir masyarakat India terhadap kerajaan.

"Perkara ini perlu dianalisis bagi mengetahui alasan, dan perlu diatasi segera, " katanya.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam berkata bantuan di era pemerintahan Najib disifatkan sebagai paling tinggi dalam sejarah bantuan terhadap masyarakat itu.

Di majlis berkenaan, Najib menyampaikan sumbangan geran SEDIC berjumlah RM8,892,441 kepada 30 NGO kaum India bagi menjalani aktiviti kemasyarakatan mereka.

Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada sejumlah geran RM82 juta yang diluluskan kepada 370 NGO kaum India untuk tahun ini. - BERNAMA

Berita Harian X