Ahad, 29 November 2015 | 12:55am
GHAZALE (tengah) diiringi Zulkafli (kiri) dan Rosmawati (dua dari kanan) merasmikan Program Kesedaran dan Pemuliharaan Spesis Terancam di The Shore Oceanarium, di Melaka. - Foto Norizzah Baharudin
GHAZALE (tengah) diiringi Zulkafli (kiri) dan Rosmawati (dua dari kanan) merasmikan Program Kesedaran dan Pemuliharaan Spesis Terancam di The Shore Oceanarium, di Melaka. - Foto Norizzah Baharudin

Penyu karah makin kurang mendarat di Melaka

MELAKA: Kemerosotan pendaratan penyu karah yang tergolong dalam kumpulan spesis terancam di Melaka, mendorong Jabatan Perikanan mengadakan Program Kesedaran dan Pemuliharaan Spesis Terancam di The Shore Oceanarium, di sini.

   Timbalan Ketua Pengarah Perikanan Bahagian Pembangunan Jabatan Perikanan, Zulkafli Abd Rashid, berkata pendaratan penyu karah dikesan semakin berkurangan berbanding purata pendaratan spesies itu sekitar 350 hingga 450 kali setiap tahun dengan jumlah penetasan sebanyak 25,000 hingga 40,000 biji telur.

   Katanya, hakisan pantai dan pembangunan pesat di persisiran pantai antara punca penyu spesies itu sukar mendarat untuk bertelur selain ancaman semula jadi seperti wabak penyakit, perubahan cuaca sejagat dan haiwan pemangsa terhadap telur.

   "Haiwan yang mempunyai nilai ekonomi ini juga dieksploitasi dengan pelbagai cara apabila telur dan dagingnya dijadikan makanan eksotik, manakala cengkerang dijadikan barang perhiasan.

   "Usaha memulihara spesis terancam ini memerlukan kerjasama dari semua pihak termasuk nelayan, pemungut telur penyu, komuniti setempat, pertubuhan bukan kerajaan seperti WWF dan orang awam kerana ia mampu menjamin spesis terancam ini berkekalan," katanya pada sidang media pelancaran majlis berkenaan, di sini, kelmarin.

   Yang turut hadir, Timbalan EXCO Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-Pulau Negeri Melaka, Datuk Ghazale Muhamad; Pengarah Kerjaya Prospek The Shore Oceanarium Sdn Bhd, Tee Eng Seng; Pengarah Perikanan Negeri, Rosmawati Ghazali;  Ketua Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC), Syed Abdullah Syed Abdul Kadir.

   Zulkafli berkata, menerusi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe11), jabatan menerima peruntukan RM25 juta bagi program Pengurusan Sumber Perikanan Mampan termasuk Pembangunan Tukun Tiruan dan Pelaksanaan Pelan Tindakan Pengurusan dan Pemuliharaan Penyu Kebangsaan.

   Katanya, pihaknya turut mewartakan kawasan larangan tangkapan ikan dengan melabuhkan 42 unit tukun tiruan dasar lembut di kawasan perairan Pulau Besar dan ditambah 20 unit tukun rekreasi serta projek propagasi karang di perairan Pulau Undan bagi pelaksanaan program itu.

   "Kita turut melakukan pengezonan semula kawasan penangkapan ikan bagi empat negeri di pantai barat iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, bagi memastikan sumber perikanan diurus dengan baik dan melindungi populasi hidupan akuatik," katanya.

   Sementara itu, Ghazale, berkata setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan RM40,000 kepada Pejabat Perikanan Negeri untuk aktiviti pemuliharaan penyu, selain mewartakan Pulau Besar sebagai kawasan larangan perikanan bagi tujuan pemuliharaan perikanan.

Berita Harian X