Isnin, 26 Oktober 2015 | 8:13pm

MERCY Malaysia perlu AS$4 juta setahun laksana program kemanusiaan

PRESIDEN Malaysian Medical Relief Society (MERCY) Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus ketika sidang media di Ibu Pejabat MERCY Malaysia. - Foto BERNAMA
PRESIDEN Malaysian Medical Relief Society (MERCY) Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus ketika sidang media di Ibu Pejabat MERCY Malaysia. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: MERCY Malaysia memerlukan AS$4 juta setahun untuk menjalankan program kemanusiaan membantu pelarian Syria yang terjejas akibat konflik perang saudara, termasuk lebih empat juta yang menjadi pelarian di negara jiran Syria.

Ini termasuk membuka klinik di lima kem penempatan pelarian di Lembah Al Bekaa di sempadan Lubnan-Syria yang membabitkan 20,000 pelarian Syria dengan anggaran kos AS$600,000 setahun bagi bekalan ubat, kelengkapan perubatan dan pakar.

Badan bukan kerajaan itu juga bercadang menjalankan program jangka sederhana dengan menghantar pakar perubatan ke Kem Pelarian Zaatari di Jordan selain menghantar bantuan musim sejuk kepada pelarian Syria di Lembah Al Bekaa di Lubnan.

Presidennya, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, MERCY Malaysia mengubah strategi dan pendekatannya dengan menjalankan program jangka panjang untuk tempoh tiga tahun memandangkan keadaan konflik Syria yang semakin parah.

Sebelum ini, MERCY Malaysia menjalankan program kemanusiaan bagi tempoh enam bulan hingga setahun.

"Kita berharap ia membantu mengurangkan migrasi pelarian Syria ke luar," katanya kepada pemberita di MERCY Malaysia petang tadi. 

Hadir sama Pengarah Serantau MERCY Malaysia bagi Asia Barat, Afrika Utara dan Eropah, Norazam Ab Samah.

Konflik Syria bermula dengan penentangan sivil rakyatnya ke atas pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad sejak Mac 2011, namun berlarutan sebagai konflik perang saudara sehingga ke hari ini dan menyaksikan lebih 12.1 juta warga Syria, terjejas.

Lebih empat juta menjadi pelarian di Lubnan, Jordan, Turki dan negara jiran lain dengan sebahagian warga Syria turut mencari perlindungan di negara Eropah seperti Jerman kerana desakan hidup.

Kerajaan Malaysia sebelum ini mengumumkan akan menerima 3,000 pelarian Syria untuk diberikan perlindungan sementara di negara ini sehinggalah konflik di negara Asia Barat itu kembali pulih.

Ditanya mengenai kemasukan pelarian Syria ke Malaysia itu, Dr Ahmad Faizal berkata MERCY Malaysia tidak terbabit secara langsung, bagaimanapun sudi membantu sekiranya diperlukan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang juga Penaung MERCY Malaysia sebelum ini dilaporkan meminta negara-negara Islam menangani isu pelarian Syria dengan lebih baik ketika pelarian Syria terdesak memasuki negara Eropah untuk perlindungan.

Berita Harian X