Jumaat, 23 Oktober 2015 | 8:38pm

Kerajaan 'dengar' keperluan rakyat Johor

JOHOR BAHRU: Peruntukan pembangunan sebanyak RM18 bilion bagi Projek Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor dalam Bajet 2016 menunjukkan komitmen dan sokongan tinggi kerajaan terhadap projek berkenaan.

Ketua Eksekutif Johor Petroleum Development Corporation (JPDC), Mohd Yazid Ja'far, berkata ia jelas menunjukkan kerajaan sangat prihatin dengan keperluan jangka panjang rakyat Johor selaras dengan tema Bajet 2016 iaitu "Mensejahtera Kehidupan Rakyat".

"Justeru, JPDC akan terus bekerjasama dengan agensi pelaksana untuk memastikan projek infra yang sedang dan akan dilaksanakan di RAPID serta Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) berjalan seperti dirancangkan," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Yazid berkata, JPDC yakin dana disediakan agensi seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dapat memperkasakan golongan usahawan ke peringkat lebih tinggi.

"Dari segi pembangunan modal insan, JPDC menyifatkan peruntukan RM4.8 bilion ini tepat pada waktunya dalam menangani masalah kekurangan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi bagi pembangunan sektor hiliran minyak dan gas di Pengerang.

"Kerajaan juga prihatin dengan keluhan serta permintaan pusat latihan bidang latihan teknologi dan pendidikan vokasional (TVET) yang selama ini menggunakan peralatan lama untuk melatih pelajar mereka khususnya bagi modul berkaitan dengan minyak dan gas.

"Justeru, peruntukan RM585 juta bagi 2016 adalah bertepatan selain bagi melahirkan lebih ramai pelajar teknikal berkemahiran tinggi untuk terus diambil bekerja oleh pelbagai industri," katanya.

Selain itu, Yazid berkata, pihaknya percaya lebih ramai pelajar dari keluarga berpendapatan rendah yang ingin belajar dalam bidang kemahiran akan dapat meneruskan impian mereka dengan adanya peruntukan RM350 juta kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

"JPDC juga berharap dapat terbabit sama dalam Jawatankuasa Kemahiran Industri, yang diketuai oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menyelaraskan inisiatif pembangunan modal insan khususnya sektor minyak dan gas," katanya.

Berita Harian X