Rabu, 21 Oktober 2015 | 5:30pm

Pengukur zarah PM2.5 diguna hujung 2016: Menteri

MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto Yazit Razali
MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menggunakan sepenuhnya alat yang dapat mengukur zarah pada 2.5 mikron atau PM2.5 menjelang penghujung 2016 bagi bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penggunaan alat pengukuran itu akan menjadikan bacaan IPU lebih tepat, berbanding alat pembacaan sekarang yang membaca dan mengukur habuk halus kurang daripada 10 mikron (PM10).

"Pemasangan alat itu harus dilaksanakan secara berperingkat kerana terdapat lebih 50 stesen pemantauan di negara ini berbanding lima atau enam saja di Singapura. Sebab itu mereka (Singapura) boleh menggunakan bacaan PM2.5 ini sejak 2014 lagi.

"Malahan sebanyak 13 stesen pemantauan lagi bakal ditambah selepas pelaksanaan bacaan pengukuran zarah PM2.5 itu nanti," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

"Kaedah bacaan IPU yang sedang diguna pakai oleh Malaysia kini masih lagi diterima dan mengikut standard antarabangsa,".

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, mengikut laporan yang diberi oleh Jabatan Alam Sekitar, sehingga kini tiada fenomena jerebu kuning seperti dihebohkan pengguna laman sosial.

"Sebenarnya, tiada jerebu kuning seperti dikatakan. Ia (jerebu kuning) berlaku di Indonesia tetapi tidak berlaku di sini (Malaysia)," katanya.

Wan Junaidi turut menasihati pengguna laman sosial supaya memastikan kesahihan sebarang berita berkaitan keadaan jerebu terlebih dulu sebelum mempercayai atau menyebarkannya.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian turut menerima laporan terdapatnya peningkatan pencemaran di beberapa kawasan termasuk di Banting, Selangor dan Cheras di sini.

Katanya, Jabatan Alam Sekitar akan memaklumkan masyarakat mengenai tahap sebenar kadar pencemaran udara yang berlaku di negara ini.

"Sebenarnya ia bukan hanya membabitkan jerebu saja, malah apabila anda menghidupkan enjin kereta ia turut menyumbang kepada pencemaran udara dan ia akan bercampur dengan jerebu," katanya.

Sehubungan itu, katanya masyarakat bukan saja perlu mengelakkan dari melakukan aktiviti pembakaran terbuka tetapi juga mereka perlu mengurangkan penggunaan kenderaan. - BERNAMA

Berita Harian X