Rabu, 14 Oktober 2015 | 1:01pm

Royce Pharma diarah tarik balik sirap paracetamol

ANTARA jenis sirap Paracetamol 120mg/5ml yang dipaparkan dalam laman web Royce Pharma Sdn Bhd.
ANTARA jenis sirap Paracetamol 120mg/5ml yang dipaparkan dalam laman web Royce Pharma Sdn Bhd.

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan mengarahkan syarikat Royce Pharma Sdn Bhd menarik balik sirap Paracetamol 120mg/5ml di pasaran kerana didapati mengandungi alkohol.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Datuk Eisah A Rahman, berkata kementerian telah mengarahkan syarikat itu memanggil balik semua produk berkenaan di pasaran dan fasiliti yang terbabit.

Kementerian itu dalam surat tawaran sudah menetapkan spesifikasi bahawa produk itu tidak sepatutnya mengandungi alkohol, dan syarikat itu dalam membuat tawaran ubat itu kepada kementerian itu telah tidak menyatakan pada label dan sisip bungkusan produk mereka mengenai kandungan alkohol, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, kerana syarikat itu tidak menyatakan pada label dan sisip bungkusan produk mengenai wujudnya alkohol dalam ubat itu, maka pihak kementerian telah menerima tawaran syarikat itu untuk membekalkan produk itu.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati produk paracetamol itu mengandungi alkohol tetapi tidak dinyatakan pada label dan sisip bungkusan," katanya.

Bagaimanapun, Eisah berkata produk itu telah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), dan didapati mematuhi keperluan kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

"Orang awam tidak perlu bimbang kerana walaupun ia mengandungi alkohol dalam had yang dibenarkan, tiada isu keselamatan dilaporkan," katanya.

Beliau juga menyarankan pengguna supaya sentiasa menyemak maklumat label dan sisip bungkusan produk dan memilih produk yang sesuai yang diperlukan.

"Pengguna boleh menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM menerusi talian telefon 1800886772 atau emel npcc@moh.gov.my untuk keterangan mengenai ubat-ubatan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X