Rabu, 14 Oktober 2015 | 12:09am

Malaysia tetap mahu dalang tembak MH17 diadili - PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sidang media selama 20 minit sempena laporan akhir penyiasatan MH17 di pejabatnya di Seri Perdana, Putrajaya. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sidang media selama 20 minit sempena laporan akhir penyiasatan MH17 di pejabatnya di Seri Perdana, Putrajaya. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia masih kekal dengan pendirian mahu dalang menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 dibawa ke muka pengadilan.

Perdana Menteri berkata, siasatan insiden itu yang diketuai Belanda perlu memberikan jawapan kukuh dan seterusnya membenarkan Malaysia mengambil tindakan setegas mungkin terhadap pihak bertanggungjawab.

"Lima belas bulan sudah berlalu, namun komitmen kita untuk membawa pelaku ke muka pengadilan kekal teguh sama seperti masa kejadian iaitu pada 17 Julai 2014, yang menyaksikan ratusan nyawa tidak berdosa terkorban.

"Kita mesti meneruskan usaha memastikan pihak yang terbabit supaya bertanggungjawab ke atas tindakan pembunuhan ini," katanya menerusi Facebook, malam tadi.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau sudah menyuarakan hasrat Malaysia, yang mahu pelaku kejadian tembakan itu diadili, kepada Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte; Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull dan Lembaga Keselamatan Belanda (DSB).

Katanya, rentetan kejadian berkenaan kini sudah dibuktikan oleh DSB dan ia memberi isyarat usaha membawa pelaku jenayah itu untuk diadili perlu diteruskan.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata dengan laporan DSB dan Pasukan Penyiasat Bersama (JIT), pihaknya kini lebih bersedia untuk mendapatkan keadilan demi mangsa MH17.

Katanya, Malaysia yang menjadi sebahagian daripada JIT, kekal mahu mengambil tindakan yang boleh membawa kepada pendakwaan terhadap pelaku jenayah itu.

"Tribunal antarabangsa di bawah Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mungkin membatalkan hasrat kami dengan kuasa veto tetapi perjuangan mendapatkan keadilan masih belum berakhir.

"Malaysia bersama rakan dalam JIT iaitu Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine akan berusaha mengadakan persefahaman untuk mewujudkan satu mahkamah antarabangsa bebas supaya dapat melakukan pendakwaan terhadap dalang kejadian berkenaan," katanya.

Berita Harian X