Isnin, 5 Oktober 2015 | 7:45pm

UIAM muncul juara Debat Terbuka Ilmu Khas

TIMBALAN Menteri Pendidikan, P Kamalanathan menyampaikan trofi kemenangan kepada wakil UIAM iaitu Muhammad Shahrulnizam Md Roni, Muhammad Syahmi Akif Jamili dan Nur Anisatul Ashikin Abd Rauf. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
TIMBALAN Menteri Pendidikan, P Kamalanathan menyampaikan trofi kemenangan kepada wakil UIAM iaitu Muhammad Shahrulnizam Md Roni, Muhammad Syahmi Akif Jamili dan Nur Anisatul Ashikin Abd Rauf. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul juara Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK) apabila berjaya mengalahkan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini, sekali gus mempertahankan gelaran yang dimenangi tahun lalu.

UIAM yang diwakili tiga penuntut jurusan Undang-undang iaitu Muhammad Shahrulnizam Md Roni, Muhammad Syahmi Akif Jamili dan Nur Anisatul Ashikin Abd Rauf, membawa balik piala pusingan DeTIK, wang tunai RM3,000, baucar percutian, piala iringan dan sijil.

Meskipun kalah, UniSZA masih berpuas hati apabila pendebat terbaik peringkat akhir DeTIK dimenangi wakil UniSZA yang juga penuntut jurusan Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah), Muhammad Ammar Rafiq Ruslan.

UniSZA yang turut diwakili Nor Fadzlina Abd Jalil dan Mohammad Amirul Shafiq Mohd Aznan membawa balik wang tunai RM1,500, piala iringan dan sijil.

Pertandingan peringkat akhir itu membawa usul 'Dewan ini akan mengehadkan tugas guru kepada mengajar saja' dengan UIAM bertindak selaku pencadang, manakala UniSZA mewakili pembangkang.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan. Turut hadir ialah Rektor Institut Pendidikan Guru (IPG), Datuk Sulaiman Wak; pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abang Salehudin Abang Shokeran dan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan DeTIK, Dr Roziah Abdullah.

Pertandingan tahunan sejak 2014 anjuran IPGKIK itu bertujuan menyediakan platform kepada mahasiswa melontarkan idea, menggalakkan pemikiran secara meluas peserta berhubung topik dan meningkatkan kemahiran komunikasi.

Sebanyak 40 pasukan dan 120 pendebat dari institut pendidikan guru, universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta dan politeknik menyertai pertandingan empat hari bermula Jumaat lalu itu.

Berita Harian X