X
Ahad, 13 September 2015 | 1:00pm

Keluarga jemaah hilang buat solat hajat

ANAK kepada salah seorang jemaah Haji yang masih hilang, Abdullah Mubarak dalam kejadian dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram, Mekah menunjukkan gambar bapanya, Abdul Muluk Ishak (tiga dari kiri) dan bapanya bersama ibunya, Embun Ibrahim (gambar atas). - Foto Noor Hidayah Tanzizi
ANAK kepada salah seorang jemaah Haji yang masih hilang, Abdullah Mubarak dalam kejadian dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram, Mekah menunjukkan gambar bapanya, Abdul Muluk Ishak (tiga dari kiri) dan bapanya bersama ibunya, Embun Ibrahim (gambar atas). - Foto Noor Hidayah Tanzizi

PANTAI REMIS: Ketika berdebar menantikan berita mengenai nasib Abdul Muluk Ishak, 71, jemaah Malaysia yang dilaporkan hilang selepas kren tumbang di Masjidilharam, Makkah, keluarganya di sini hanya mampu berdoa dan menunaikan solat hajat memohon orang tersayang itu pulang ke pangkuan dengan selamat.

Anaknya, Mohd Rosli, 34, berkata mereka sekeluarga berharap bapanya ditemui dalam keadaan sihat dan selamat.

"Kami mengharapkan abah selamat dan dapat menghabiskan ibadat haji," katanya ketika ditemui di rumah bapanya itu di Taman Pantai Wang, Kampung Sungai Batu, dekat sini, hari ini.

Abdul Muluk antara lapan jemaah Malaysia yang hilang selepas kejadian yang mengorbankan nyawa 107 jemaah dan lebih 200 lagi cedera, kelmarin.

Beliau berharap bapanya hanya sekadar tidak dapat dikesan dan tidak terbabit dalam kejadian kren tumbang.

"Sebelum ini abah pernah hilang dan dihantar pulang ke Tabung Haji (TH) oleh seorang lelaki Arab, kami berharap kehilangan abah kali ini tidak terbabit dengan insiden yang baru berlaku itu.

"Abah juga mempunyai penyakit darah tinggi dan mudah lupa apabila terkejut kesan kemalangan 20 tahun lalu, kami risau jika kejadian sama berulang lagi dan berharap dia selamat," katanya.

Mohd Rosli berkata, dia mengetahui berita kehilangan bapanya melalui aplikasi WhatsApp pagi semalam sebelum meminta abangnya menghubungi pihak TH.

"Ketika dihubungi pihak TH mereka belum mengesahkan kehilangan itu tetapi pada jam 2 petang kami menghubungi emak, Embon Ibrahim, 57, dan emak mengesahkan kehilangan abah.

"Emak beritahu abah masih tidak dapat dikesan dan hilang sejak dia turun menunaikan solat Jumaat bersama tiga rakan sebiliknya sebelum rakan abah memaklumkan abah masih tidak pulang. Emak juga meminta kami mengadakan solat hajat dan berdoa untuk keselamatan abah," katanya.

Beliau berkata, ibu dan bapanya berlepas menunaikan ibadah itu pada 16 Ogos lalu.

Sementara itu, anak bongsu Abdul Muluk, Abdullah Mubarak, 28, berkata ibunya yang dihubungi jam 10.30 pagi tadi memaklumkan Abdul Muluk belum dapat dikesan.

"Bagaimanapun keadaan emak sudah tenang namun masih bersedih dengan kehilangan abah serta berharap abah ditemui dan pulang ke pangkuannya dengan selamat.

"Kami tak akan berhenti berdoa dan akan bersama-sama melakukan solat hajat bersama jemaah kampung untuk keselamatan semua mangsa yang terbabit," katanya.

Berita Harian X