Khamis, 3 September 2015 | 2:37pm

2 daerah di Kedah catat bacaan IPU tidak sihat

BACAAN Indeks Pencemaran Udara (IPU) sekitar Kedah setakat jam 2 petang tadi. - Foto apims.doe.gov.my
BACAAN Indeks Pencemaran Udara (IPU) sekitar Kedah setakat jam 2 petang tadi. - Foto apims.doe.gov.my

ALOR SETAR: Indeks Pencemaran Udara (IPU) di dua daerah di negeri ini iaitu di Kota Setar dan Sungai Petani, menunjukkan bacaan tidak sihat pagi ini.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata IPU di pusat pemantauan Alor Setar sekitar jam 7 pagi direkod menunjukkan bacaan 122, manakala di Bakar Arang, Sungai Petani pula 108.

Justeru, beliau meminta orang ramai supaya mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah terutama jika kadar bacaan IPU direkodkan antara 100 hingga 200 yang menunjukkan tahap kualiti udara yang tidak sihat.

"Kita minta orang ramai sentiasa berada dalam bangunan, memakai penutup hidung dan mulut yang sesuai ketika keluar rumah, selain memastikan udara di dalam rumah atau bangunan sentiasa bersih dengan mengurangkan sumber pencemaran dalaman seperti asap rokok.

"Selain itu, pemandu kenderaan dinasihat menggunakan pendingin hawa dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman. Orang ramai juga dinasihat minum banyak air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari, selain sentiasa mencuci tangan dan muka dengan sabun serta air bersih selepas melakukan aktiviti luar," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dr Norhizan berkata, mereka yang mengalami gejala dan tanda seperti batuk, selsema, asma, sakit mata dan jangkitan paru-paru perlu segera mendapatkan rawatan di klinik berhampiran untuk mengelakkan keadaan bertambah teruk.

Orang ramai perlu sentiasa peka terhadap perkembangan semasa tahap jerebu melalui media dan mematuhi nasihat dari Jabatan Kesihatan untuk memastikan kesan jerebu terhadap kesihatan.

"Segala pembakaran terbuka tidak digalakkan kerana ia akan memburukkan lagi tahap jerebu dan pihak kami sudah mengambil pelbagai langkah termasuk menyediakan topeng hidung dan mulut yang mencukupi kepada pesakit yang mempunyai risiko tinggi terhadap kesan jerebu.

"Semua klinik kesihatan di negeri ini juga bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes jerebu supaya tidak menjejaskan perkhidmatan di setiap klinik berkenaan," katanya.

Sementara itu, Dr Norhizan berkata pihaknya turut membatalkan Program Gegar 10,000 langkah sempena Merdeka di beberapa daerah yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini untuk mengelakkan orang ramai terdedah dengan bahaya jerebu.

Berita Harian X