Khamis, 13 Ogos 2015 | 5:53pm

Low Yat 2 bantu usahawan Melayu, tiada kaitan perkauman - Ismail Sabri

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man (kanan) bersalaman dengan orang ramai ketika tiba di Majlis Ramah Mesra Bersama JKKK Perlis di sini hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man (kanan) bersalaman dengan orang ramai ketika tiba di Majlis Ramah Mesra Bersama JKKK Perlis di sini hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

KANGAR: Cadangan penubuhan 'Low Yat 2' bukan bertujuan mencetuskan isu berunsur perkauman, sebaliknya untuk membantu membangunkan ekonomi dalam kalangan usahawan Melayu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau kecewa apabila sesetengah pihak membuat tanggapan negatif terhadap cadangan yang dikemukakannya itu.

Beliau berkata, idea untuk menyediakan ruang jualan produk komputer, gajet dan alat telekomunikasi khusus untuk peniaga Melayu dan Bumiputera adalah atas platform Majlis Amanah Rakyat (MARA) selaku sebuah badan di bawah kementerian yang diterajuinya.

"MARA ditubuhkan secara asasnya untuk membangunkan ekonomi dan pendidikan untuk orang Melayu dan Bumiputera.

"Saya bercakap mengenai ruang kompleks kepunyaan MARA yang hendak diperuntukkan untuk golongan peniaga Melayu dan Bumiputera ini menjual produk sedemikian.

"Bagi saya, mereka yang menuduh saya rasis adalah lebih rasis daripada saya, mereka berfikiran sempit dan suka membuat andaian sendiri," katanya ditemui selepas menghadiri majlis ramah mesra anjuran kementeriannya di sini, petang tadi.

Berita Harian X