Ahad, 9 Ogos 2015 | 7:06pm

Saya tak bersekongkol dengan pembangkang - Muhyiddin

TIMBALAN Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA
TIMBALAN Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak pernah bersekongkol dengan pembangkang untuk menumbangkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, selaku orang nombor dua dalam parti yang ditunjangi orang Melayu itu, adalah tidak munasabah untuk beliau berbuat demikian.

"Saya tidak ada komplot untuk tumbang perdana menteri dengan bersekongkol dengan Menteri Besar Selangor (Mohamed Azmin Ali) dan Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang)... kedua-dua telah nafi dan saya tidak perlu nafi atau cakap kerana saya tidak terbabit," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO, Bahagian Petaling Jaya Utara di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau yang berada dalam UMNO selama lebih 40 tahun nekad untuk menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai timbalan presiden bagi meneruskan perjuangan membela orang Melayu.

Beliau seterusnya mengingatkan anggota UMNO terutama di Selangor supaya tidak mudah mengaku kalah untuk menguasai semula negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

Merujuk kepada pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi UMNO, Muhyiddin berkata anggota parti terutama sayap Pemuda perlu mengutamakan soal kepentingan perjuangan parti melebihi pangkat dan jawatan yang disandang.

"Tugas kita untuk cari jalan selesaikan isu-isu seperti GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan), pengangguran anak-anak muda, kenaikan harga kos barang selain dibebani masalah lain yang berlegar dan membawa beban," katanya.

Kepada pimpinan Pemuda yang mempunyai idealisme baharu itu, beliau menasihatkan golongan itu supaya menggunakan platform yang tepat bagi mengutarakan isu dan pandangan selaras dengan perkembangan arus semasa.

"Malaysia mampu menjadi sebuah negara maju, namun ia memerlukan komitmen keseluruhan kepimpinan terutama golongan muda yang berani dan tegas," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X