Selasa, 4 Ogos 2015 | 3:11pm

Mayat nelayan yang dikhuatiri lemas dekat Pontian ditemui

JOHOR BAHRU: Nelayan yang hilang selepas bot dinaikinya karam antara perairan Pulau Pisang dan Pulai Sebatang dekat Pontian semalam, ditemui lemas hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohamad Nazaruddin Ahmad Zainuddin, berkata mayat Mohd Faizal Suhep, 40, ditemui pasukan mencari dan menyelamat kira-kira satu kilometer dari kawasan kejadian pada jam 10.10 pagi tadi.

Mayat kemudian diserah kepada polis untuk dibawa ke Hospital Pontian bagi bedah siasat, katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa bersama seorang lagi rakan dikatakan keluar ke laut kira-kira jam 5 petang Ahad, sebelum bot itu dipukul ombak besar dan ribut menyebabkannya terbalik lalu karam pada awal pagi keesokannya.

Rakan mangsa - Anizam Azim, 44, bagaimanapun berjaya diselamatkan beberapa nelayan kira-kira 11 pagi semalam berhampiran sebuah kelong di kawasan Api-Api.

-BERNAMA

Berita Harian X